KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru seluruh pertubuhan Islam, gerakan masyarakat sivil, kumpulan anti-perang dan pejuang keadilan global untuk bangkit dan menzahirkan penentangan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, himpunan massa, tekanan diplomatik dan solidariti antarabangsa amat diperlukan untuk mengelakkan perang besar-besaran di Asia Barat berlanjutan.
Ujar beliau, masyarakat dunia tidak boleh terus membisu memandangkan kezaliman AS dan Israel bukan sekadar serangan ke atas Iran, sebaliknya ia tentang keadilan global, masa depan Palestin dan keamanan sejagat.
“Serangan AS dan rejim Zionis ke atas Iran bukan sekadar operasi ketenteraan bersifat setempat, tetapi provokasi terancang yang bertujuan menggugat kestabilan seluruh Asia Barat dan mencetuskan pertembungan antara kuasa-kuasa besar dunia.
“Penyertaan terbuka AS bersama Israel dalam serangan ini adalah manifestasi keangkuhan imperialis yang mengingkari undang-undang antarabangsa dan mencabul kedaulatan sebuah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, tambah Mohd Azmi, Mapim berpendirian Iran mempunyai hak mutlak untuk mempertahankan kedaulatannya daripada sebarang bentuk pencerobohan asing.
Katanya, sebagai sebuah negara berdaulat dan anggota PBB, Iran berhak menggunakan segala bentuk pertahanan yang sah untuk melindungi rakyat, wilayah dan institusi negaranya.
“Tindakan mempertahankan diri bukan sahaja dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa, malah merupakan prinsip asas keadilan sejagat yang mesti dihormati oleh semua negara,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Mohd Azmi, Mapim turut menuntut supaya gencatan senjata serta-merta dalam konflik tersebut, dengan semua serangan ketenteraan ke atas Iran mesti dihentikan segera.
Selain itu, tambah beliau, pihaknya turut menggesa campur tangan antarabangsa termasuk diadakan sidang tergempar PBB bagi mengecam tindakan ketenteraan AS dan Israel tersebut.
“Negara-negara membangun juga perlu menolak penglibatan dalam agenda perang imperialis Barat ini, manakala negara-negara Islam mesti bersatu mempertahankan Iran daripada serangan dan tekanan luar,” katanya.
Tambahnya, serangan itu juga bertujuan menghapuskan sokongan kepada Palestin, justeru umat Islam mesti tetap teguh dalam perjuangan membebaskan Al-Quds. – MalaysiaGazette
















