KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan sistem Ombudsman di Malaysia adalah langkah penting ke arah mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam serta mengurangkan beban kes mahkamah yang semakin meningkat.
Menurut Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah, Ombudsman berfungsi sebagai institusi bebas yang mampu menyelesaikan aduan rakyat terhadap agensi kerajaan dan badan awam dengan lebih cepat, profesional tanpa perlu melalui proses perundangan yang panjang.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkenalkan Ombudsman di Malaysia secara rasmi. Di negara-negara maju seperti United Kingdom, Sweden, New Zealand dan Australia, institusi ini telah lama diwujudkan dan terbukti berkesan.
”Rakyat diberi saluran yang sah untuk mengemukakan aduan dan mendapatkan penyelesaian dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Ombudsman berasal daripada perkataan Sweden yang bermaksud rungutan atau wakil atau ejen rakyat adalah badan bebas mengamalkan konsep tidak memihak dalam menguruskan aduan disalurkan orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam
Sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, perbincangan dasar penubuhan Ombudsman diadakan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) melalui beberapa sesi bengkel, akan dimuktamadkan tahun ini.
Murugiah yang pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab terhadap Biro Pengaduan Awam (BPA) menjelaskan, sistem ala-Ombudsman telah diguna pakai secara tidak rasmi ketika itu.
Meskipun cadangan untuk menubuhkan institusi tersebut belum diluluskan secara rasmi pada waktu itu, beliau telah berjaya menyelesaikan ribuan aduan rakyat secara langsung, pantas dan tanpa melalui proses mahkamah.
“Pengalaman saya menguruskan BPA membuktikan kaedah penyelesaian aduan cepat dan telus amat diperlukan.
“Ia bukan sahaja memberi keadilan kepada rakyat, malah menjimatkan masa dan kos, khususnya kepada golongan B40 dan M40 yang mungkin tidak mampu membawa kes mereka ke mahkamah,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, penubuhan sistem Ombudsman mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara kerana setiap aduan akan disiasat secara bebas dan berkecuali.
“Apabila rakyat melihat aduan mereka diberi perhatian dan diselesaikan secara profesional, ini akan membina semula kepercayaan kepada sistem kerajaan.
“Malah, agensi-agensi kerajaan juga akan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam tindakan mereka kerana tahu mereka tertakluk kepada pemantauan Ombudsman,” katanya lagi.
Murugiah berharap agar kerajaan dapat mempercepatkan pelaksanaan sistem ini secara menyeluruh demi menjamin keadilan sosial dan keberkesanan pentadbiran awam.
“Ombudsman bukan sekadar menyelesaikan aduan, ia adalah simbol kebertanggungjawaban dan ketelusan pentadbiran dalam menjaga hak dan kebajikan rakyat,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















