KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menggesa supaya akses orang ramai terhadap Daftar Pesalah Seksual Kanak-Kanak yang diwujudkan pada 2019 dipermudahkan.
Menurut beliau, langkah itu bukan bertujuan untuk mengaibkan mana-mana individu, sebaliknya lebih kepada bertujuan melindungi.
Ujar beliau, Malaysia boleh mencontohi semangat kerjasama rentas sempadan antara pasukan polis seperti yang ditunjukkan oleh 13 buah negara Amerika Latin dan tujuh buah negara Eropah melalui rangkaian ELIPSIA.
“Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu memperkasa kurikulum pendidikan kesihatan dengan memasukkan elemen keselamatan dalam talian, supaya pelajar dapat mengenal pasti pemangsa dan tingkah laku tidak wajar dalam alam maya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang menyentuh mengenai tindakan solidariti dalam membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.
Kenyataan itu rentetan pendedahan kewujudan kumpulan Facebook ‘Group Budak2 Sekolah Rendah’ yang mempunyai lebih 12,000 ahli.
Nurul Izzah turut menjadi sasaran ancaman serangan seksual di alam maya pada Januari lalu.
Dalam perkembangan sama, Nurul Izzah turut menggesa Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membentangkan satu mekanisme pemantauan yang jelas dan telus bagi menilai keberkesanan sistem perlindungan digital untuk kanak-kanak.
Dalam masa sama, ujar beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan polis perlu membentangkan laporan terbuka berkenaan kes semasa serta semua kes lampau pesalah seksual supaya rakyat dapat meneliti perkembangan dan memastikan pertanggungjawaban terjamin.
“Parlimen juga perlu diberi taklimat tentang status dan keberkesanan Unit Khas Jenayah Seksual D11, setelah setahun penubuhannya, supaya kita dapat menilai kekuatan dan kekurangannya dengan jujur dan objektif,” katanya.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, langkah segera pihak berwajib menutup media sosial yang menjurus kepada eksploitasi seksual kanak-kanak walaupun sangat dihargai, namun disifatkan masih belum memadai.
Sebaliknya, apa yang amat diperlukan adalah gerak kerja tersusun, tegas dan padu daripada agensi-agensi kerajaan seperti polis, SKMM dan KPWKM.
Dalam masa sama, Nurul Izzah percaya pendekatan yang paling berkesan juga bermula daripada komuniti.
Sehubungan itu, ujarnya, PKR akan melancarkan kempen akar umbi berskala besar yang memberi tumpuan terhadap kesedaran berkenaan bahaya eksploitasi seksual kanak-kanak.
Kempen itu juga melibatkan pasukan sokongan komuniti yang menawarkan aktiviti selamat dan kaunseling mesra kanak-kanak, selain bekerjasama erat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat komuniti dan institusi pendidikan di semua tahap.
Selain itu, kempen itu turut digerakkan dengan pembukaan kaunter kesedaran di ruang awam, melibatkan tokoh tempatan bagi menyampaikan mesej secara lebih berkesan serta penglibatan langsung pemimpin masyarakat dan pejabat penyelaras daerah dalam advokasi dan pemantauan berterusan.
“Ibu bapa. Pendidik. Pemimpin agama dan komuniti. NGO. Pengguna media sosial. Beban ini adalah milik bersama.
“Dalam menghadapi cabaran digital yang semakin rumit, kita tidak lagi boleh menjadi pemerhati pasif. Masanya bagi kita tampil sebagai pelindung — tegas, penuh bertanggungjawab, dan berani menyentuh akar masalah,” katanya. – MalaysiaGazette

















hak macam ni dr noraini ahmad pun lebih tahu dan ada kaedah penyelesaian. datuk Nancy shukri pun lagi bijaj. kalau kenyataan yang seperti menangguk di air keroh ni nak tak payahlah