KUALA LUMPUR – Parti Warisan tidak terlibat dalam apa jua kapasiti dalam penganjuran demonstrasi Himpunan Gempur Rasuah 2.0 yang telah berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, perhimpunan aman itu dianjurkan sepenuhnya oleh Suara Mahasiswa UMS dan pihaknya menghormati pendirian mereka yang tegas dan konsisten bahawa tiada parti politik harus terlibat dalam acara tersebut.
Dalam masa sama, ujar beliau, Warisan menjunjung dan menghormati hak untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, hak berhimpun secara aman itu adalah milik semua rakyat Malaysia termasuk anak muda Sabah, para pelajar termasuk ahli parti politik selagi ia dilaksanakan secara aman dan mematuhi undang-undang.
“Warisan juga telah mengingatkan semua ahli kami agar tidak memakai sebarang pakaian yang memaparkan logo Warisan sekiranya mereka memilih untuk hadir.
“Kehadiran mereka (sekiranya ada) adalah atas kapasiti peribadi, dan bukan sebagai wakil parti.
“Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, saya sendiri telah mengarahkan pegawai-pegawai untuk memantau acara tersebut.
“Saya boleh mengesahkan tiada sebarang lambang atau bahan parti Warisan dipamerkan sepanjang perhimpunan berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan wujud dakwaan yang mengaitkan Warisan dengan perhimpunan aman tersebut.
Sementara itu, Mohd Azis berkata, tiada mana-mana ahli Warisan terlibat dalam insiden membakar banner dan poster Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlaku pada perhimpunan aman tersebut.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya, perbuatan itu dilakukan oleh mahasiswa sendiri.
“Kami yakin pihak penguat kuasa terutamanya Cawangan Khas, telah mengenal pasti individu yang terlibat. Serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengesahkan fakta berdasarkan bukti yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada mahasiswa UMS yang menggerakkan perhimpunan aman tersebut kerana berani menyuarakan penentangan terhadap rasuah sambil mematuhi proses undang-undang dalam menganjurkan demonstrasi aman tersebut.
“Malaysia memerlukan lebih banyak gerakan masyarakat sivil bebas seperti Gerakan Mahasiswa UMS yang boleh menjadi pemantau pihak ketiga dan menuntut pertanggungjawaban daripada pihak berkuasa.
“Memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab pihak berkuasa atau ahli politik semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama semua rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















