WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan amaran “berjaga-jaga di seluruh dunia” kepada rakyat Amerika.

Menurut amaran itu, konflik di Timur Tengah boleh meningkatkan risiko keselamatan bagi mereka yang sedang mengembara atau menetap di luar negara.

“Konflik antara Israel dan Iran telah menyebabkan gangguan perjalanan dan penutupan ruang udara secara berkala di seluruh Timur Tengah. Terdapat potensi berlakunya demonstrasi terhadap warganegara dan kepentingan Amerika Syarikat di luar negara.

“Jabatan Negara menasihatkan semua warganegara Amerika di seluruh dunia supaya meningkatkan tahap berjaga-jaga,” kata amaran keselamatan dari Jabatan Negara itu.

Kenyataan itu tidak menyebut tentang campur tangan Amerika Syarikat dalam konflik tersebut pada waktu malam, apabila pesawatnya mengebom fasiliti nuklear di Iran, suatu tindakan yang menurut Tehran akan membawa “akibat yang tidak dapat diperbaiki.”

Republik Islam itu pada hari Ahad mengancam pangkalan-pangkalan AS di Timur Tengah dan memberi amaran pasukan tentera AS mungkin diserang sebagai tindak balas terhadap serangan udara yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Mana-mana negara di rantau ini atau di tempat lain yang digunakan oleh pasukan Amerika untuk menyerang Iran akan dianggap sebagai sasaran sah bagi angkatan tentera kami,” kata Ali Akbar Velayati, penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA.

Sebelum ini, Pentagon memaklumkan telah menghancurkan program nuclear Iran.

AS pada hari Sabtu telah memulakan penerbangan pemindahan keluar warganegara dan penduduk tetapnya yang tinggal di Israel atau Tebing Barat.

Ia juga telah mengarahkan kakitangan misi diplomatiknya di Iraq dan Lubnan supaya meninggalkan negara-negara tersebut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast