Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – ⁠Tindakan membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 di dataran Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu pada minggu lalu merupakan perbuatan melampau dan biadab.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan ganas itu tidak selari dengan keperibadian rakyat Sabah yang berbudi bahasa dan mempunyai sifat lemah lembut.

“⁠Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa yang dibantu ahli-ahli Parti Warisan Sabah pada 21 dan 22 Jun tidak sepatutnya melanggar norma undang-undang dan adab orang Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, tular video insiden membakar karikatur Perdana Menteri yang berlaku pada penghujung himpunan aman anjuran Gempur Rasuah 2.0 di Kota Kinabalu, Sabah.

Karikatur yang dibakar itu turut disertakan kain rentang bertulis “Madani Pelindung Rasuah Sabah” sebagai kritikan kepada pentadbiran Anwar yang didakwa gagal menunaikan janji reformasi institusi.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga menggesa rakyat Sabah bersatu hati untuk menolak budaya ganas yang cuba dijadikan norma di Sabah.

“Rakyat Sabah amat bijak menolak parti tertentu yang menjadi dalang kepada perhimpunan ini,” katanya.

Sebaliknya Zulkarnain menegaskan, ⁠Parti Warisan Sabah perlu bertanggungjawab ke atas insiden biadab ini kerana majoriti peserta yang hadir merupakan pemimpin, ahli dan penyokong parti pembangkang itu.

“Perhimpunan aman gempur rasuah ini juga turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sekali gus memberi imej buruk kepada Sabah di mata pelancong asing,” katanya.

Susulan perbuatan itu, G57 mendesak agar Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal segera mengisytiharkan keluar daripada kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“⁠Kepimpinan dan ahli-ahli Parti Warisan Sabah berterusan menyerang Perdana Menteri secara terbuka di Sabah dalam masa sama masih kekal dalam kerajaan Perpaduan jelas perbuatan baling batu sembunyi tangan dan perbuatan pengecut.

“⁠Walaupun Perikatan Nasional (PN) amat memusuhi PMX namun gabungan parti pembangkang itu masih beradab dan tidak pernah bertindak membakar foto Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast