Fadillah Yusof

KEPENGERUSIAN Malaysia dalam ASEAN tahun ini membawa fokus utama terhadap pembangunan Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid, APG), sebuah inisiatif mega yang dilihat sebagai antara pencapaian paling signifikan sepanjang kepengerusian negara dalam blok serantau itu.

Projek berimpak tinggi itu melibatkan sambungan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura membentuk laluan tenaga rentas sempadan yang bakal memperkukuh kestabilan bekalan kuasa di rantau ini.

Pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui melalui APG bukan sahaja menyokong agenda peralihan hijau serantau bahkan membuka ruang luas kepada penyertaan sektor swasta khususnya dari segi pelaburan, pembiayaan, pemindahan teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pula mengunjurkan menjelang 2035, pelaburan dalam sektor kuasa ASEAN perlu mencecah AS$990 bilion (RM4.1 trilion) iaitu lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diperlukan dalam infrastruktur bekalan tenaga di rantau ini.

Pakar tenaga melihat projek berkenaan sebagai satu langkah strategik bukan sahaja dalam konteks alam sekitar tetapi juga dari segi ketahanan bekalan tenaga jangka panjang negara.

Ia terbukti apabila insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada April lalu menyebabkan gangguan bekalan gas ke kawasan utara Semenanjung sekali gus mencetuskan keperluan mendesak untuk sistem tenaga yang lebih fleksibel dan bersepadu peringkat serantau.

Dengan pelaksanaan APG, Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai hab tenaga serantau tetapi juga mengukuhkan kedudukannya dalam landskap tenaga global yang semakin tertumpu kepada kelestarian dan kecekapan tenaga.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan, kerjasama serantau adalah elemen penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga dan menjamin masa depan tenaga mampan di ASEAN.

Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN ke-43 Mengenai Tenaga (SOME) di Kuching, Sarawak, Fadillah menegaskan, komitmen berterusan Malaysia meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, memperkukuh kecekapan tenaga, serta meneroka penyelesaian teknologi rendah karbon secara aktif.

“Malaysia kekal konsisten dalam agenda peralihan tenaga. Kita percaya bahawa penyelesaian mampan perlu dipacu melalui kerjasama kolektif, bukan hanya dalam bentuk dasar malah dalam pelaksanaan dan pelaburan,” katanya.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut memaklumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) ASEAN Power Grid (APG) yang dipertingkat dan pengesahan Rangka Kerja Pembangunan Kabel Kuasa Dasar Laut dijangka menjadi antara pencapaian utama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Tenaga (AMEM) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

MoU berkenaan dijangka menjadi pemangkin utama kepada penyepaduan tenaga serantau yang lebih efektif sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi ASEAN secara kolektif melalui pendekatan tenaga mampan.

Tenaga Hijau Pacu Integrasi Ekonomi Serantau

APG yang merupakan inisiatif jangka panjang ASEAN dilihat mampu menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui termasuk solar, hidro dan angin secara lebih menyeluruh.

Negara yang memiliki sumber tenaga tertentu berpotensi menjadi pengeksport tenaga hijau kepada negara jiran sekaligus mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon di rantau ini.

Menurut Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, visi penuh pelaksanaan APG dijangka memerlukan pelaburan sehingga AS$764 bilion (RM3.22 trilion) menjelang tahun 2045.

Anggaran tersebut merangkumi pembangunan loji tenaga boleh diperbaharui, sambungan grid serantau serta infrastruktur sokongan.

Agensi Tenaga Antarabangsa pula menjangkakan sektor tenaga di ASEAN akan memerlukan sekitar AS$990 bilion (RM4.1 trilion) menjelang tahun 2035. Ini membuka peluang luas kepada sektor swasta untuk terlibat secara aktif dalam aspek pembiayaan, teknologi serta inovasi tenaga.

NETR: Komitmen Malaysia di Peringkat Domestik

Pada peringkat domestik, Malaysia meneruskan komitmen terhadap agenda tenaga mampan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang antara lainnya menetapkan sasaran untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

Pelbagai insentif turut diperkenalkan termasuk skim solar net-metering, pembangunan loji hidro berskala kecil serta pelaburan dalam teknologi penyimpanan tenaga.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk memimpin dengan teladan dan mengangkat pencapaian domestik ke pentas serantau dalam membentuk ekosistem tenaga yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

Cabaran dan Jalan ke Hadapan

Bagaimanapun, Fadillah mengakui perjalanan ke arah grid kuasa serantau yang bersepadu bukan tanpa cabaran.

Penyelarasan dasar tenaga antara negara anggota, keserasian teknikal grid serta isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan tenaga menuntut pendekatan diplomasi tenaga yang bijaksana dan strategik.

Malaysia sebagai pengerusi harus memastikan semua rundingan dijalankan secara telus dan adil disamping membina keyakinan antara negara anggota melalui pendekatan saling menghormati dan matlamat bersama.

Sokongan kepada pelaburan swasta, penetapan insentif fiskal serantau serta penyelarasan peraturan rentas sempadan turut dikenal pasti sebagai aspek kritikal yang perlu diberi perhatian dalam setiap perbincangan tenaga di peringkat ASEAN.

Dengan pengalaman luas dalam pengurusan tenaga dan diplomasi serantau, Malaysia berpotensi menjadikan kepengerusiannya pada tahun ini sebagai titik tolak kepada masa depan ASEAN – sebuah rantau yang bukan sahaja cerah dari segi kuasa elektrik, tetapi juga bersatu dalam visi tenaga mampan. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast