KUALA LUMPUR – Seorang peguam kanan yang juga aktivis sosial menjelaskan, Siri Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran yang diadakan sejak tahun lalu, bukan hanya membincangkan kes-kes `kayangan’ melibatkan Datuk Seri Najib Razak semata-mata.
Kamarudin Ahmad yang juga bertindak selaku moderator bagi keenam-enam sesi sebaliknya menjelaskan, isu yang diutarakan turut berkaitan `gagak di rimba’ yang menyentuh kepentingan awam.
Antaranya termasuk topik kebebasan bersuara yang membawa implikasi besar dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Semasa sesi Town hall, hadirin atau peserta bebas mengemukakan soalan berkaitan isu `kayangan’ atau `gagak di rimba’ kerana slogan yang dibangkitkan adalah berkisar tentang suara rakyat.
“Tidak dinafikan, isu yang diutarakan menyentuh aspek perundangan melibatkan bekas Perdana Menteri, namun ia juga tidak menafikan isu-isu kepentingan awam lain.
“Saya percaya penganjur membawa topik-topik berkaitan kepentingan awam kerana banyak perkara boleh dibincangkan pada sesi akan datang.
“Ini termasuk isu kos sara hidup, isu pengumpulan data oleh syarikat telekomunikasi dan terkini isu pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” ujar beliau dalam sesi temubual bersama Malaysia Gazette semalam.
Kamarudin ditemui pada sesi Town Hall Rakyat Mencari Kebenaran Siri Keenam ‘Antara Dua Titah’ yang disertai oleh ahli-ahli panel terdiri daripada peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli korporat yang juga seorang penulis, Datuk Mohd. Omar Mustapha.
Kamarudin ditanya berkenaan soalan `nakal’ seorang peserta pada sesi Town Hall bulan lalu yang pada pendapatnya hanya membincangkan kes `kayangan’ berkaitan bekas Perdana Menteri dan dilihat seolah-oleh meminggirkan isu berkaitan `gagak di rimba’.
Peserta tersebut dengan nada sedikit kecewa malah menyatakan, sepanjang dua jam beliau `duduk’ di situ, tiada isu lain yang diketengahkan melainkan hanya berkaitan Najib.

Sesi Town Hall kelima yang diadakan pada 25 Mei lalu bertajuk `Perundangan dan Hak Asasi Manusia’ menampilkan ahli panel terdiri daripada tiga peguam iaitu, Datuk Hasnal Rezua Merican, Datuk Seri Rajan Navaratnam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat serta Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun.
Sesi berkenaan yang bermula tahun lalu dianjurkan oleh AP Media Communications dan NMH Media Network diadakan di beberapa tempat termasuk di Sime Darby Convention Centre dan KL Gateway Mall di sini.
Ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi oleh penganjur dalam menjayakan program berkenaan, Kamarudin berkata, setakat ini sesi berjalan lancar tanpa sebarang aduan orang ramai.
Ujar beliau, tiada ahli panel yang dipanggil oleh polis untuk soal siasat manakala soalan-soalan dijawab oleh panel profesional dalam bidang masing-masing dan isu yang dibangkitkan lebih menyentuh aspek perundangan.
“Sesi Town Hall bukan forum untuk mengkritik atau memburukkan pemimpin kerajaan, ia lebih kepada membincangkan isu kepentingan awam dan hak rakyat dari aspek perundangan,” ujar beliau. – MalaysiaGazzette.
















