MELAKA – “Saya betul-betul terkejut dan tak sangka kanak-kanak perempuan itu sudah meninggal dunia kerana tidak dengar mereka bergaduh pun pagi tadi.
“Kali terakhir saya lihat budak itu minggu lalu dan tidak nampak apa yang pelik.”
Itu diceritakan jiran kepada keluarga seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang meninggal dunia dipercayai didera bapa tirinya di rumah mereka di Kota Laksamana, di sini pagi tadi.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendapat tahu kanak-kanak itu sudah meninggal dunia pagi tadi.
“Kebetulan, saya kerja malam tadi dan terus tidur jadi tak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Artikel berkaitan: Budak perempuan 9 tahun mati dipercayai didera bapa tiri
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kejadian terbongkar pada pukul 9.45 pagi tadi selepas pihak polis menerima panggilan daripada sebuah hospital swasta.
Sumber berkata, doktor memaklumkan terdapat kesan disyaki didera selepas mangsa dihantar bapa tirinya untuk mendapatkan rawatan.
Doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lembam di kepala dan badan.
“Pesakit kemudian meninggal dunia di wad kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi tadi,” katanya. – MalaysiaGazete
















