ALOR SETAR – Kejadian angin kencang yang melanda negeri ini semalam, mengakibatkan pokok tumbang serta kerosakan kediaman kepada penduduk di 10 daerah.
Daerah yang terlibat ialah Sik, Padang Terap, Pendang, Kota Setar, Yan, Kubang Pasu, Langkawi, Baling, Kuala Muda dan Pokok Sena.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Suhaimi Mohd. Zain berkata, kejadian jam 8.30 malam tadi menyebabkan banyak pokok tumbang menghalang jalan raya serta merosakkan bumbung dan struktur rumah yang dihempap.
“Pasukan APM telah digerakkan sejurus menerima laporan untuk menjalankan pemantauan, membersihkan kawasan yang terjejas dan menilai tahap kerosakan bersama agensi berkaitan.
“Usaha pembersihan dan bantuan sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh agensi-agensi berkaitan termasuk APM, PBT serta pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, jumlah rumah yang rosak masih dalam proses dikenal pasti kerana kejadian berlaku di banyak kawasan serentak dan memerlukan masa untuk disemak secara menyeluruh.
“Kita masih dalam proses pengumpulan data berkaitan jumlah rumah yang terjejas. Setakat ini, tiada laporan kecederaan diterima namun kerosakan fizikal melibatkan kediaman dan infrastruktur awam agak ketara.
“Justeru kita menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan mematuhi segala amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















