MELAKA – Empat anggota polis direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM2,000 sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan terhadap pengadu atas kesalahan berdua-duaan di dalam kenderaan.
Perintah reman terhadap suspek masing-masing berusia 26 hingga 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sehingga Sabtu ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.
Terdahulu, kesemua mereka ditahan ketika diarahkan datang untuk pengecaman suspek di Pejabat SPRM Melaka antara pukul 3.50 hingga 4 petang semalam.
Menurut sumber, tiga suspek adalah dua anggota polis berpangkat koperal berusia 33 dan 36 tahun serta konstabel,26 manakala seorang sukarelawan polis berpangkat koperal berusia 40 tahun.
“Kesemua suspek dipercayai telah menahan pengadu yang ketika itu sedang berdua-duaan dalam sebuah kenderaan dengan tunangnya di parkir Jalan Melaka Mall.
“Pengadu kemudian dibawa ke balai polis dan ketika di balai polis mereka dipercayai meminta suapan berjumlah RM4,000 namun mangsa hanya dapat memberikan wang tunai sebanyak RM2,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















