ISKANDAR PUTERI – Johor bakal melahirkan 600 akauntan menerusi program Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) menjelang 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamim berkata, ACCA dan ICAEW akan bekerjasama dengan Johor Talent Development Council (JTDC) bersama-sama rakan strategiknya.
“Hal ini bagi memperkukuh laluan kerjaya profesional dalam bidang perakaunan untuk anak-anak Johor yang membuka lebih banyak peluang pendidikan bertaraf antarabangsa melalui penyediaan program pensijilan yang diiktiraf global.
“Yayasan Peneraju tampil sebagai pemacu utama dalam menyokong pembangunan modal insan negeri Johor dengan menyediakan dana khas bagi program work-up skill,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Aznan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Ibrahim Sani di Kota Iskandar di sini semalam.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, tawaran itu terbuka kepada pelbagai lapisan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), golongan profesional bekerja serta pemegang ijazah.
Jelasnya, sebanyak 600 slot disediakan khas untuk anak Johor, satu langkah inklusif dalam memastikan tiada yang tercicir dalam pembangunan kemahiran berimpak tinggi.
“Dalam usaha melengkapkan sokongan menyeluruh kepada peserta, Sunway TES turut memainkan peranan penting sebagai penyedia latihan rasmi ACCA,” ujarnya.
Mereka kata beliau, akan menyediakan fasiliti dan tenaga pengajar profesional untuk memastikan anak Johor menerima latihan berkualiti tinggi selaras dengan piawaian antarabangsa.
“Terima kasih kepada semua rakan strategik yang terus komited bersama Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasa anak muda dengan ilmu, kemahiran dan peluang masa depan,” katanya.- MalaysiaGazette
















