Lokasi kejadian seorang duda mencabut nyawanya sendiri di pangsapuri di Sungai Putat, Melaka semalam.

MELAKA – Kecewa selepas bakal isteri meminta putus tali pertunangan dipercayai menjadi punca seorang duda mencabut nyawanya sendiri di pangsapuri di Sungai Putat di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dilaporkan berlaku selepas tukang masak berusia 39 tahun bertengkar dengan tunangnya, 31 tahun kira-kira pukul 4.30 petang kerana cemburu.

“Si mati dan tunangnya bertengkar kerana bakal isterinya itu mahu memutuskan tali pertunangan mereka dipercayai akibat cemburu sebelum wanita itu terus masuk ke biliknya.

“Kira-kira 30 minit kemudian, ketika keluar dari biliknya, wanita itu terkejut apabila melihat tunangnya dalam keadaan tergantung di kipas siling dengan wayar dalam biliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

Menurut Christopher, wanita itu kemudian meminta bantuan jiran untuk menurunkan si mati sebelum terus menghubungi polis.

“Pemeriksaan pasukan polis di lokasi kemudian menemukan mayat lelaki itu di lantai dalam bilik utama rumah berkenaan yang disewa si mati bersama dua abang tunangnya itu.

“Hasil soal siasat, tunang si mati memberitahu bakal suaminya itu tertekan selepas dia menyatakan hasrat untuk memutuskan tali pertunangan mereka,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast