Gambar hiasan

DALAM sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menekankan berkenaan beberapa perkara yang bertentangan dan mustahil untuk wujud bersama dalam satu masa yang sama. Antaranya ialah “keimanan dan hasad dengki.” [al-Nasāʾī: 3109].

Hal ini membuktikan bahawa perihal hasad dengki ini merupakan suatu isu yang besar dan penting. Jika tidak, sudah pasti Rasulullah SAW tidak mengiringkannya dengan isu keimanan yang melibatkan akidah dan kesempurnaan iktikad seseorang.

Di samping itu, faedah lain yang dapat digarap juga ialah kewujudan sifat dengki dalam jiwa seseorang merupakan tanda kelemahan atau ketidak sempurnaan iman seseorang.

Jika imannya utuh, sudah tentu individu tersebut tidak akan tergugat dengan kelebihan orang lain di sekelilingnya, lantas tidak akan berasa marah dan cemburu dengan orang yang melebihinya.

Hasad dengki merupakan suatu penyakit yang amat membimbangkan dan kian menular dalam komuniti umat manusia. Sebahagian besar musibah yang melanda kini berpunca daripada sifat hasad dengki sebahagian manusia terhadap sebahagian yang lain.

Permasalahan seperti jenayah pembunuhan, kehancuran institusi kekeluargaan dan perbuatan menutup periuk nasi orang lain dengan zalim, merupakan antara musibah yang menimpa umat ini akibat hasad dengki yang kian menebal dalam jiwa sebahagian anggota masyarakat.

Pada era moden yang berkembang seiring dengan perkembangan teknologi dan maklumat, jenayah-jenayah bagi merealisasikan sifat dengki sebahagian manusia dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, lantas kesannya lebih membimbangkan.

Sebaran maklumat, video atau gambar yang terkait dengan seseorang atas tujuan menjatuhkan individu tersebut di laman-laman sosial, semakin menjadi kegilaan sebahagian manusia akibat dengki mereka yang semakin tidak dapat dikawal.

Ditambah pula dengan trend viral yang semakin menggila, mengakibatkan bahana hasad dengki ini semakin sukar untuk dibendung penularannya dalam kalangan masyarakat.

Hakikat hasad dan bahagiannya

Menurut Ibn al-Qayyim, hasad merujuk kepada sifat kebencian terhadap nikmat Allah ke atas orang lain yang dihasadkan, bersama harapan agar nikmat itu hilang daripada orang tersebut.

Tanpa disedari, hasad itu sendiri merupakan suatu bentuk bantahan terhadap Allah yang mengurniakan nikmat-Nya kepada individu yang dicemburui tersebut.

Menurut Imam al-Nawawi, hasad terbahagi kepada dua bahagian, iaitu ḥaqīqī (makna sebenar) dan majāzī (kiasan).

Adapun ḥaqīqī, ia merujuk kepada hasad yang difahami umum, iaitu mengharapkan sesuatu nikmat agar hilang daripada pemilikan pemiliknya. Hasad dengan makna ini telah disepakati pengharamannya tanpa sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan ulamak.

Adapun bahagian yang kedua, iaitu majāzī, ia merujuk kepada mengharap untuk mendapatkan seperti nikmat yang ada pada orang lain, tanpa mengharapkan nikmat itu hilang daripada pemiliknya.

Keinginan ini jika berkaitan dengan hal-hal keduniaan, maka hukumnya harus. Jika ia berkaitan dengan hal-hal ketaatan dan ibadah, maka hukumnya ialah digalakkan (mustaḥabb). Para ulamak meletakkan nama lain bagi sifat ini, iaitu ghibṭah (غبطة).

Sifat ini dinyatakan keharusan dan galakannya dalam hadith, seperti mana sabda Rasulullah SAW dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim: “Tidak dibenarkan hasad melainkan kepada dua orang: seseorang yang dianugerahkan Allah ilmu Al-Quran, lalu dia membacanya malam dan siang (juga beramal dengannya) dan seseorang yang dianugerahkan Allah harta, lalu dia menginfakkannya malam dan siang.”

Justeru istilah hasad yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith ini ialah hasad majāzī, iaitu ghibṭah.

Sebab timbulnya sifat hasad dan kaedah merawatnya

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada timbulnya sifat hasad dengki dalam diri seseorang individu. Antaranya ialah kebencian yang menebal dalam diri orang yang hasad terhadap orang yang dihasadkan.

Hal ini jelas dipaparkan dalam ayat surah al-Nisāʾ, ayat 54-55, di mana orang Yahudi mempunyai sifat hasad yang mendalam kepada Rasulullah SAW dan para sahabatnya, akibat kebencian mereka terhadap baginda SAW dan para sahabat.

Kata Ibn ‘Abbas RA dalam menafsirkan ayat surah al-Nisāʾ tersebut: “Mereka (orang Yahudi) bersifat hasad terhadap Nabi SAW disebabkan kenabian baginda dan bersifat hasad terhadap para sahabat baginda SAW disebabkan keimanan para sahabat.”

Antara faktor lain ialah sikap takabbur dan ‘ujub yang ada dalam diri seseorang. Apabila orang lain memperoleh nikmat atau kebaikan yang tidak mampu dia perolehi, dia berasa tercabar, lantas tercetusnya sifat hasad dalam dirinya. Sikap sebegini dipaparkan oleh golongan musyrikin yang mempertikaikan penurunan Al-Quran kepada Rasulullah SAW, seperti yang dinyatakan dalam surah al-Zukhruf, ayat 31.

Selain itu, sikap mencintai pangkat dan jawatan secara berlebihan juga mampu menyumbang kepada terhasilnya sifat hasad. Hal ini berlaku apabila seseorang yang menggilai satu-satu jawatan, namun dia tidak ditawarkan kepada jawatan yang dia ingini. Jawatan tersebut pula diberikan kepada orang lain, lantas tercetuslah sifat hasad dalam dirinya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah usahanya menjatuhkan individu tersebut dengan segala bentuk strategi dan pengkhianatan, bagi merealisasikan kepuasan sifat hasad yang membaluti jiwanya. Tanpa dia sedari, perbuatannya itu merupakan petanda bahawa dia tidak reda dengan ketetapan yang telah Allah takdirkan buatnya dan individu tersebut. Perkara ini dilihat sebagai suatu bentuk penghinaan kepada qaḍāʾ Allah SWT.

Meskipun begitu, sifat hasad ini boleh dirawat jika diusahakan dengan sewajarnya. Antara rawatan yang berkesan untuk merawat sifat negatif ini ialah: Pertama, dengan memohon perlindungan daripada Allah SWT melalui ayat suci-Nya dan bacaan ruqyah.

Surah al-Falaq merupakan sebuah surah yang terbaik untuk selalu dibaca sebagai refleksi buat diri kita agar tidak terjebak dengan keburukan sifat hasad yang berbahaya.

Selain itu, bacaan ruqyah yang pelbagai juga boleh diamalkan bagi mencegah diri daripada bahana hasad.

Kedua, dengan menyebarkan salam. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat al-Tirmidhī: “Penyakit umat sebelum kalian telah perlahan-perlahan menuju kalian: Hasad dan permusuhan. Ia merupakan al-ḥāliqah. Aku tidak berkata bahawa ia memotong rambut, namun ia memotong agama. Demi Zat yang jiwaku pada tangan-Nya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman dan kalian tidak akan beriman sehingga kalian berkasih sayang. Inginkah kalian aku khabarkan sesuatu yang menguatkan perkara itu untuk kalian? Sebarkan salam sesama kalian.”

Ketiga, dengan memperbanyak amalan baik untuk mengalihkan perhatian daripada sibuk dengan nikmat dan kelebihan yang diperoleh orang lain, seperti memperbanyak taubat dan bersedekah.

Juga perlu diingatkan kepada mana-mana individu yang memperoleh sesuatu nikmat agar tidak terlalu mempertontonkannya kepada khalayak, bagi menutup segala jalan dan pintu yang mampu membuka ruang untuk hasad dan kebencian bertapak.

Oleh,

Dr. Muhammad Akmalludin Mohd Hamdan
Fakulti Pengajian Quran & Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast