Dr. Zulkifli Hassan

KUANTAN – Cadangan mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di maahad tahfiz dan pondok agama bukan solusi utama dalam menangani isu disiplin serta kebajikan pelajar.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, tumpuan perlu diberikan kepada usaha pendaftaran semua institusi tahfiz di seluruh negara.

“Kita perlu mengambil kira dimensi secara menyeluruh. Bukan sahaja aspek undang-undang tetapi  juga yang lain.

“Yang paling penting kita melihat isu ini secara menyeluruh dan menanganinya sebaik mungkin, bukan hanya tertumpu kepada satu pendekatan sahaja,” katanya.

Dr. Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan mewajibkan pemasangan CCTV di maahad tahfiz dan pondok agama susulan kejadian tular membabitkan seorang pelajar institusi agama yang dipukul warden, baru-baru ini.

Jelas beliau,  isu disiplin pelajar bukan hanya berlaku di institusi tahfiz, malah turut membabitkan pelbagai institusi pendidikan lain di negara ini.

Justeru, pendaftaran tahfiz memudahkan pemantauan, kawal selia serta penyaluran bantuan kerajaan secara lebih sistematik dan berkesan.

“Di pihak hal ehwal agama kita akan menyusun atur sebaiknya seperti pendaftaran tahfiz.

“Apabila institusi tahfiz didaftarkan, pemantauan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan kebajikan pelajar dapat diberi perhatian sewajarnya,” katanya selepas mengadakan lawatan dan meninjau kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), di sini hari ini.

Hadir sama mengiringi beliau dalam lawatan berkenaan ialah Naib Canselor UNIPSAS, Profesor Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Dalam perkembangan lain, katanya, pelancaran Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) yang akan dilaksankan merupakan langkah penting memperkukuh tadbir urus pusat tahfiz di seluruh negara.

Jelasnya, SPTM akan berfungsi sebagai piawaian nasional dalam memastikan semua maahad tahfiz mematuhi standard yang ditetapkan demi keselamatan, kebajikan serta kualiti pendidikan pelajar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast