KUALA LUMPUR – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) turun padang dalam satu operasi penguatkuasaan terhadap premis syarikat perkhidmatan dan pembersihan di Labuan, hari ini.

Operasi yang melibatkan 40 pegawai penguatkuasa itu berjaya mengesan beberapa kesalahan antaranya kegagalan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum dan Akta Kerja 1955.

Katanya, majikan didapati membayar gaji di bawah paras minimum Seksyen 43, Perintah Gaji Minimum Pindaan 2024.

JKTM akan membuka kertas siasatan bagi kesemua kesalahan tersebut bagi membolehkan tindakan kompaun dan pendakwaan diambil selaras dengan akta berkaitan.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) telah memeriksa 51 pekerja tempatan dan seorang warga asing dari Indonesia.

“Operasi Penguatkuasaan bersepadu ini adalah antara mekanisme yang kita ambil dalam memastikan kebajikan para pekerja adalah terjaga dan sekaligus menyangkal dakwaan pihak antarabangsa yang mengatakan bahawa negara mengamalkan buruh paksa.

“Operasi ini diketuai oleh Ketua Pengarah, JTKSM, Kamal Pardi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dalam operasi tersebut, Perkeso berjaya mengesan kesalahan di bawah Peraturan 10 (3) dan Seksyen 14 (1) Akta 800.

Manakala KWSP pula berjaya mengesan majikan yang gagal membuat caruman (Akta KWSP 1991).

Sementara itu, pihak JIM berjaya mengesan pelaku kesalahan yang melanggar Peraturan 39 (B) Peraturan- peraturan Imigresen 1963 pemegang Pas Lawatan (Kerja Sementara).

Tambahnya, JTKSM bersama jabatan dan agensi sahabat akan terus mempergiatkan pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan selaras perundangan di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan.

Katanya, penguatkuasaan itu amat penting sebagai langkah proaktif kementerian dalam membanteras ketidakpatuhan terhadap mana-mana akta perburuhan, selain perlu dilakukan secara konsisten demi memastikan kebajikan semua sama ada tempatan mahu pun warga asing. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast