SELAYANG – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang merendahkan pencapaian pelajar memperoleh gred A- dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk dalam isu kemasukan ke program matrikulasi.
“Kita tidak pernah mengeluarkan petunjuk atau garis panduan yang mengatakan A- itu bukan A atau A- itu tidak cemerlang. Tidak pernah sama sekali kita menyebut begitu,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau mengulas kekeliruan orang ramai berhubung merit kemasukan ke matrikulasi dan dakwaan hanya yang mendapat gred A ke atas diberi keutamaan pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang STPM, MUET dan Sijil Kemahiran Bahasa Melayu untuk Warganegara (SKBMW), di sini hari ini.
Menurutnya, proses kemasukan ke program matrikulasi bagi tahun ini adalah antara yang paling lancar dan tersusun, hasil penambahbaikan sistem sedia ada yang dibuat oleh pihak kementerian.
“Tahun ini adalah tahun paling tenang kerana kita telah menguruskannya dengan sangat baik. Perlu difahami bahawa 86 peratus daripada pemohon yang layak masuk matrikulasi adalah pelajar yang mengambil sembilan subjek dan mendapat 9A.
“Cuma 14 peratus sahaja yang mengambil 10 subjek dan mendapat 10A. Maka kita harus berlaku adil kepada majoriti anak-anak ini,” tambahnya.
Semua pemohon matrikulasi tetap melalui proses penilaian yang adil berdasarkan merit, termasuk penglibatan elemen Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), dan tidak ada diskriminasi terhadap mana-mana kumpulan pelajar.
“Mereka yang mendapat A- tetap boleh memohon dan akan melalui proses biasa. Kita tidak pernah kata A- tidak layak atau tidak boleh masuk matrikulasi. Itu tidak benar.
“Kita mahu peluang ini terus diberikan kepada semua anak-anak kita berdasarkan merit dan kemampuan mereka. Semua akan ada tempat masing-masing, insya-Allah,” katanya lagi.
Manakala, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang seperti 10A+ atau A penuh masih menikmati keutamaan secara automatik untuk kemasukan ke matrikulasi seperti yang ditetapkan dalam dasar sedia ada.
“Kita kekalkan dasar itu. Ia tidak berubah. Tapi bagi yang lain, kita ada penilaian berdasarkan merit dan PAJSK,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut mengumumkan peningkatan jumlah penerima biasiswa untuk pelajar cemerlang STPM daripada 300 kepada 500 orang.
“Yang 300 itu adalah khusus untuk pelajar STPM yang cemerlang bagi melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan, sama ada di universiti awam mahupun Institut Pendidikan Guru (IPG),” jelasnya. – MalaysiaGazette
















