KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup minyak diesel bersubsidi ke negara jiran dalam satu pemeriksaan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah pada kira-kira jam 8 pagi semalam.
Rampasan dalam operasi itu dianggarkan kira-kira RM90,000.
Menurutnya, sindiket mengubah suai sebuah lorii jenis pole trailer bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Namun, pemeriksaan rapi oleh pegawai bertugas telah menemukan satu tangki tambahan yang disembunyikan di bahagian bawah lori tersebut, yang diisi dengan anggaran 3,500 liter minyak diesel.
Lori tersebut telah disita untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai kenderaan dan Seksyen 64(1) APJ 1987 yang membenarkan kenderaan disita.
Rampasan ini menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi AKPS bersama-sama agensi penguatkuasaan lain dalam memastikan sempadan negara tidak dibolosi oleh sebarang aktiviti haram.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya agensi penguat kuasa bagi mengaut keuntungan yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette















