MELAKA – Kasih seorang isteri apabila menghembuskan nafas terakhirnya di bahu suami selepas mengadu berasa kebas di tangannya di rumah mereka di Taman Desa Molek, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 6.27 pagi daripada anak mangsa yang memaklumkan ibunya, Sharifah Zarina Ismail 39, tidak sedarkan diri di rumah mereka.
Menurutnya siasatan awal mendapati, suami mangsa, Madzir Samad, 48, memberitahu isterinya itu ada mengalami muntah-muntah pada kira-kira pukul 1.30 pagi.
“Suaminya kemudian mengosok-gosok belakang badan isterinya itu sehingga dia terlena namun terjaga kira-kira pukul 5.30 pagi apabila si mati tersedar dan mengadu tangannya berasa kebas.
“Lelaki itu kemudian memicit tangannya isterinya sambil dia menyandarkan kepala di bahu suaminya dan terus tidak sedarkan diri selepas itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tambahnya, suami mangsa kemudian menghubungi ambulans dan penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Ayer Molek mengesahkan wanita terbabit telah meninggal dunia.
“Menurut lelaki itu, isterinya pernah mengadu kerap sakit perut tetapi tidak mendapatkan rawatan klinik sebaliknya hanya membeli ubat di farmasi.
“Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette
















