Gambar kabel dalam kotak choke transformer projek ECRL yang dilaporkan dicuri pihak tidak bertanggungjawab

KUANTAN – Polis akan mengambil langkah-langkah keselamatan dan pencegahan awal bagi mengelakkan kejadian curi kabel dan peralatan bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di daerah Temerloh.

Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pihak ECRL dalam masa terdekat.

“Setakat ini tiada kes kecurian perlatan dalam kotak ‘Choke Transformer’ yang dikesan di daerah ini kerana peralatan itu masih belum dipasang di jajaran ECRL sejauh 80 kilometer yang turut melibatkan daerah Maran,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pasukan tindakan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga akan melakukan pemeriksaan berkala di premis-premis barang lusuh untuk memastikan tidak berlaku aktiviti jual beli peralatan berkenaan.

Semalam, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyatakan kebimbangan kes kecurian kabel yang boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi tren projek ECRL yang kini berada pada fasa penting menjelang penyempurnaan pada Disember 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dilaporkan berkata, beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL, merentas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast