MELAKA – Hasil keputusan bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang disyaki menjadi mangsa penderaan bapa tirinya tidak menemukan serangan seksual terhadap mangsa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat terhadap kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu selesai petang tadi.
“Hasil keputusan proses bedah siasat mendapati, tiada serangan seksual terhadap kanak-kanak perempuan berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, usaha wartawan untuk mendapatkan reaksi waris atau ahli keluarga kanak-kanak berkenaan di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka sejak 1 petang tadi tidak berhasil.
Ahli keluarga kepada ibu kanak-kanak itu serta seorang lagi saudaranya berasal dari Sabah enggan memberikan sebarang komen ketika proses tuntutan mayat yang difahamkan akan disemadikan di Sabah.

Foto Reza A. Hamid
Hari ini media melaporkan ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak perempuan OKU cerebral palsy yang mati dipercayai didera di rumah keluarganya di Taman Kota Laksamana, di sini, semalam direman tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah kesalahan bunuh.
Perintah reman sehingga 30 Jun ini dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh untuk siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan kejadian menyayat hati itu terbongkar pada pukul 9.45 pagi selepas pihak polis menerima panggilan daripada doktor sebuah hospital swasta di Banda Hilir.

Sumber berkata, doktor memaklumkan terdapat kesan disyaki didera selepas mangsa dihantar bapa tirinya yang berasal dari Sabah dan bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami patah kaki serta kesan lembam di kepala dan badan.
“Pesakit kemudian meninggal dunia di wad kecemasan hospital kira-kira pukul 9.45 pagi sebelum polis turut menahan ibunya yang merupakan warga Indonesia,” katanya. – MalaysiaGazette
















