Logo Badan Peguam Malaysia beserta Istana Kehakiman. Foto MALAYSIAGAZETTE, 25 JUN 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Badan Peguam Malaysia akan mendapatkan perintah mahkamah untuk memperoleh minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) susulan laporan seorang hakim kanan telah disoal oleh suruhanjaya itu kerana didakwa campur tangan dalam urusan kehakiman.

Tindakan itu perlu bagi memastikan fakta sebenar diperoleh, menjaga integriti institusi serta memastikan langkah pembetulan sewajarnya dapat diambil tanpa menjejaskan undang-undang, katanya.

Badan Peguam Malaysia menambah, pihaknya amat bimbang dengan laporan media mengenai perkara itu kerana sekiranya  benar, ia menimbulkan persoalan serius mengenai integriti dan kebebasan badan kehakiman negara ini yang sepatutnya kekal bebas daripada sebarang bentuk pengaruh atau manipulasi.

“Badan Peguam Malaysia berpandangan dakwaan campur tangan kehakiman ini bukan sekadar isu tatatertib biasa. Ia menyentuh teras kepercayaan awam terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

“Isu ini bukan sahaja mengenai kepatutan tindakan tersebut, malah turut menyentuh aspek struktur dan kebebasan institusi kehakiman secara keseluruhannya,” tegasnya.

Badan Peguam Malaysia menambah, kebebasan kehakiman adalah sesuatu yang tidak boleh dirunding kerana ia merupakan jaminan Perlembagaan dan salah satu tonggak penting dalam sistem demokrasi negara.

Oleh itu, sebarang tindakan – sama ada benar-benar berlaku atau sekadar persepsi – yang menjejaskan prinsip ini perlu ditangani segera dan dengan penuh ketelusan.

“Sekiranya laporan tersebut tidak benar, penjelasan juga harus segera diberikan bagi mengelakkan kerosakan tidak wajar kepada reputasi institusi kehakiman.

“Badan Peguam Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat supaya menangani perkara ini dengan serius. Kami juga sekali lagi menegaskan komitmen kami terhadap prinsip kedaulatan undang-undang serta perlindungan kebebasan kehakiman tanpa rasa takut mahupun pilih kasih.” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast