Seorang lelaki yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 50 semalam, maut dihempap tembok konkrit tanda jalan di Kampung Baru Gunung Emas, Asahan, Jasin, Melaka pagi tadi.

JASIN – Seorang lelaki yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-50 semalam, maut dihempap tembok konkrit tanda jalan di Kampung Baru Gunung Emas, Asahan, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.40 pagi itu, mangsa Nazri Yazid meninggal dunia di tempat kejadian.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Azizul Ali berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.49 pagi sebelum tiba 23 minit kemudian dengan kekuatan sebuah jentera bersama empat anggota.

“Sebaik tiba, didapati seorang mangsa lelaki dihempap runtuhan tembok tanda nama kampung berkenaan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya ketika bomba tiba, mangsa sudah pun dikeluarkan oleh orang awam dari sisa runtuhan berkenaan.

“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast