KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diminta bersiap sedia menghadapi pelaksanaan pelbagai jenis cukai baharu susulan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal berkuat kuasa bermula 1 Julai ini.
Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat, Shahir Adnan berkata, langkah tersebut akan memberi kesan langsung kepada semua lapisan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40.
“Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) sebelum ini mendakwa hampir 97 peratus barangan kini dikenakan cukai. Peratusan itu menjadikan hampir semua barang dalam pasaran tertakluk kepada SST tanpa mengira kemampuan pengguna.
“Kini ia telah menjadi malapetaka yang memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malahan, orang ramai juga dikejutkan dengan pelaksanaan cukai perkhidmatan baharu sebanyak lapan peratus yang akan dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan tertentu bermula tarikh sama.
“Antara perkhidmatan yang terlibat termasuk transaksi pelaburan, pemindahan dana rentas sempadan, pengeluaran laporan khas serta beberapa bentuk nasihat kewangan.
“Namun perkhidmatan asas seperti akaun simpanan dan akaun semasa sama ada konvensional atau Islam akan dikecualikan daripada cukai ini.
“Walau pun begitu, Kementerian Kewangan perlu tampil memberikan penjelasan kepada rakyat yang terus-menerus dikejutkan dengan pelbagai bentuk pengumuman cukai baharu,” tambahnya.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang mendakwa hampir 97 peratus barangan kini dikenakan cukai.
Secara tidak langsung, ia menjadikan hampir semua barang dalam pasaran tertakluk kepada SST tanpa mengira kemampuan pengguna.
“Bebanan hidup rakyat semakin meningkat berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan susulan perluasan SST, selain penarikan beberapa bentuk subsidi.
“Persoalannya kini, mengapa hutang negara terus mencanak naik sedangkan rakyat telah membayar pelbagai jenis cukai?” soal beliau.
Shahir yang juga Pengerusi HAK Konsumer Sejahtera (HAKS) menegaskan kerajaan perlu lebih telus dan sensitif terhadap bebanan yang ditanggung rakyat ketika ini. – MalaysiaGazette
















