KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut manakala dua lagi parah apabila motosikal yang ditunggang mereka bergesel dan berlangar di KM 51.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dari arah Laguna Park, Pulau Indah menuju ke Pulau Carey, Klang, Selangor malam semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati kesemua empat motosikal yang terlibat dalam kemalangan jam 11 malam itu ditunggang secara laju dan bersaing antara satu sama lain.
“Dua daripada motosikal tersebut percayai bergesel sesama sendiri dan terjatuh di atas jalan raya.
“Dua lagi motosikal yang datang dari arah belakang gagal membrek lalu merempuh motosikal yang telah terjatuh tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Ramli, dua mangsa yang berusia 15 dan 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala dua lagi mangsa berumur 15 dan 24 tahun yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.
Kedua-dua remaja berusia 15 tahun itu merupakan pelajar sekolah.
Katanya, kes disiasat di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















