KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Awal Muharram dan Maal Hijrah 1447H, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru umat Islam bermuhasabah dan memperbaharui tekad untuk menjadi Muslim yang lebih baik, bersifat rahmah dan lebih menjiwai erti sebenar ukhuwah dan kasih sayang sesama insan.

Baginda turut menyeru semua umat Islam tidak berlagak menjadi ‘hero’ atau merasa diri terlalu hebat sehingga menafikan hak dan sumbangan orang lain.

Titah baginda, sikap angkuh itu hanya mencemarkan keikhlasan dalam perjuangan.

“Kesombongan bukan tanda kekuatan, tetapi kelemahan jiwa yang belum tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT. Jadilah insan yang rendah hati, kerana kemuliaan di sisi Allah hanya milik mereka yang bertakwa,” titahnya dalam perutusan sempena Awal Muharram dan Maal Hijrah menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Selain itu, baginda turut mengingatkan umat Islam untuk mengamalkan adab dan kebijaksaan dalam menegur.

Titah baginda, janganlah menegur sehingga menghina atau nasihat bertukar menjadi cercaan.

“Tegurlah saudara kita dengan penuh kasih sayang, kerana tujuan teguran bukanlah untuk memalukan, tetapi untuk memperbaiki. Teguran yang lahir dari hati yang jujur akan meresap ke hati yang bersih.

“Akhir kata, Beta menyeru sekalian umat Islam supaya menyambut tahun baharu Hijrah ini dengan jiwa yang segar dan hati yang suci.

“Semoga setiap daripada kita diberi kekuatan untuk berhijrah ke arah lebih baik, baik dalam solat dan ibadah, dalam hubungan sesama manusia, dalam tanggungjawab sebagai warganegara dan sebagai umat Islam,” titah baginda lagi.

Tambah Sultan Idris Shah, Maal Hijrah adalah detik yang amat besar ertinya dalam sejarah Islam kerana ia bukan semata-mata peristiwa perpindahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, tetapi lambang kekuatan iman, pengorbanan, kesabaran dan usaha menyatukan hati-hati yang berbeza demi memperjuangkan kebenaran.

Sehubungan itu, baginda menyeru seluruh umat Islam untuk meneladani semangat ini dengan menjadikan Hijrah sebagai langkah untuk memperbaiki diri, memperhalus akhlak dan mendekatkan hati kepada Allah SWT. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast