Kementerian Pengajian Tinggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menunggu laporan penuh hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa penuntut sebuah universiti di Cyberjaya yang dilaporkan meninggal dunia pada kelmarin.

“Ini penting bagi memastikan tahap keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa berada pada tahap tertinggi. Pematuhan ini juga adalah penting bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap pelajar yang berada di bawah tanggungjawab universiti.

“KPT juga sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan setiap IPT kekal sebagai persekitaran yang selamat, kondusif dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan para pelajar,” kata KPT dalam kenyataan.

Sebelum itu, seorang pelajar wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya ditemui mati dalam keadaan mencurigakan di bilik asramanya kelmari dalam kejadian yang kini disiasat sebagai kes bunuh.

Difahamkan mangsa berusia 20 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak itu merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi.

Mengikut laporan media, mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama berkenaan selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu manakala mangsa dikatakan berada di asrama kerana bakal menduduki peperiksaan dalam tempoh terdekat.

Mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 10 pagi oleh seorang rakan yang datang melawat sebelum menghubungi polis.

Sehubungan itu, KPT menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan sensitiviti pihak yang terlibat.

Sebagai langkah berterusan dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan pelajar, KPT ingin mengingatkan semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta
(IPTA/ IPTS) agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh universiti masing-masing.

KPT juga menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast