KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut manakala dua lagi cedera apabila kereta Proton Persona yang dinaiki kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, tengahari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden yang berlaku berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa itu sekitar jam 1.02 tengahari tadi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik bergegas ke lokasi kejadian sejauh 70 kilometer dari balai bomba sebaik panggilan diterima.
Menurut beliau, mangsa yang maut adalah lelaki berusia 70-an yang berada di tempat duduk penumpang hadapan dan mengalami kecederaan serius pada kaki.
Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, pemandu kereta terbabit yang merupakan seorang lelaki serta seorang penumpang wanita yang berada di tempat duduk belakang hanya mengalami kecederaan ringan.
”Penumpang wanita tersebut bagaimanapun turut mengadu sakit di bahagian dada dan dihantar ke Hospital Gerik. Rawatan awal diberikan kepada kedua-dua mangsa yang cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
















