Pengasas bersama Gato Cat House, Nina Mustapha bercakap ketika ditemubual MalaysiaGazette di Gato Cat House, Eco Majestic, Semenyih. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2025

SEMENYIH – Siapa sangka haiwan peliharaan di rumah khususnya kucing bukan sahaja berdepan risiko dijangkiti pelbagai penyakit, bahkan haiwan kesayangan itu boleh mengalami kecederaan serius termasuk cacat jika tidak mendapat rawatan.

Namun tidak semua pemiliknya mempunyai pengetahuan dan keupayaan untuk menjaga serta merawat haiwan kesayangan mereka dijangkiti jika bakteria dan virus, selain cedera akibat diserang karnivor lain hingga menyebabkan hilang upaya.

Gelagat kucing kurang upaya di bawah jagaan Gato Cat House ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Eco Majestic, Semenyih. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2025

Bagaimanapun, kini pemilik kucing tidak perlu risau lagi apabila haiwan kesayangan boleh mendapatkan rawatan intensif jika mengalami kecederaan, dijangkiti penyakit serius mahupun berstatus kucing kurang upaya (KKU).

Gato Cat House, satu-satunya pusat penjagaan kucing yang menyediakan perkhidmatan itu, bukan sahaja menerima kucing normal, bahkan sedia merawat KKU sama ada sejak dilahirkan mahupun akibat penyakit serta kecederaan.

Pengasas bersamanya, Nina Mustapha berkata, pihaknya sedia merawat KKU akibat lumpuh, cacat anggota badan, buta dan sebagainya dengan menyediakan rawatan intensif serta fisioterapi.

“Kita pernah ambil satu kes ini di mana pemilik tersebut tak mahu jaga kucing yang lumpuh kaki belakang.

“Sebelum buat fisioterapi, kita kena biasa kucing itu dengan tempat baharu dengan kurangkan tekanan, minggu ketiga baru jika latih kucing ini berjalan semula.

“Kalau dia dah okay, dia dah manja dengan kita, baru kita mulakan fisioterapi dengan sampai kucing itu boleh berjalan semula.

“Alhamdulillah, kucing itu berjalan dan berlari semula, tetapi, ia ambil masa sehingga dua bulan setengah,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Gelagat kucing kurang upaya di bawah jagaan Gato Cat House ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Eco Majestic, Semenyih. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2025

Menurut Nina, dengan bayaran serendah RM45 hingga RM70 sehari, pemilik kucing peliharaan boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan intensif bagi haiwan kesayangan mereka.

“Ada pemilik kucing tak mampu nak jaga haiwan peliharaan mereka, termasuk apabila beranak-pinak, kita akan jaga anak-anak kucing ini sehingga disusukan setiap hari, terutama ibu kucing yang pertama kali melahirkan anak,” katanya.

Gelagat kucing kurang upaya di bawah jagaan Gato Cat House ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Eco Majestic, Semenyih. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2025

Selain itu, katanya, Gato Cat House menerima semua jenis kucing yang dijangkiti penyakit melainkan akibat jangkitan virus berbahaya seperti Parvo.

“Sebab penyakit bawaan virus ini mudah berjangkit dan tersebar termasuk selsema, jadi kita tak nak risikokan kucing orang lain, walaupun hanya bermalam di hotel kucing,” katanya.

Ditanya tentang rawatan kecemasan, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan itu yang memerlukan kucing mereka dihantar ke klinik veterinar.

“Sebelum kita hantar ke klinik veterinar, kita akan beri cadangan dan nasihatkan pemilik kucing tentang rawatan yang perlu diambil.

“Kucing pun ada sakit jantung, kita akan segera hantar ke klinik veterinar bila keadaan mendesak,” katanya.

Pengasas bersama Gato Cat House, Nina Mustapha melakukan dandanan terhadap seekor kucing spesis Maine Coon ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Eco Majestic, Semenyih. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2025

Sementara itu, Nina mengakui pelbagai cabaran dihadapinya bukan sahaja semasa mengusahakan Gato Cat House sejak hampir setahun itu, bahkan ketika bermula terlibat sebagai sukarelawan menyelamatkan kucing jalanan dan KKU.

“Kita pernah menguruskan kucing garang, ada kalanya ambil masa hingga tiga jam untuk memujuk kucing agresif ini, selepas barulah kita boleh uruskan seperti potong kuku dan memandikannya.

“Saya sudah lali dan biasa dengan cakaran dan gigitan kucing yang agresif, hingga terpaksa bergegas ke klinik atau hospital untuk mendapatkan vaksin dan suntikan kancing gigi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast