MELAKA – Melaka sekali lagi dipilih menjadi menjadi tuan rumah Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, program itu akan berlangsung pada 25 hingga 27 Julai ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
“Program tahunan anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ini dijangka mampu menarik lebih 10,000 pengunjung daripada pelbagai pengisian menarik melibatkan penyertaan koperasi seluruh negara.
“Kita jangkakan program tahun ini akan lebih meriah memandangkan Melaka turut menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia iaitu Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) yang mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Semarak Konsumerisme Bersama Pengamal Media Melaka 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin.
Mengulas mengenai sambutan malam tadi, Allex menyifatkan ia sebagai satu jambatan yang mengeratkan lagi kerjasama antara KPDN Melaka dan pengamal media.
“Semua media rasmi wajar didampingi setiap agensi dan jabatan kerajaan dalam usaha untuk menyampaikan segala dasar dan maklumat secara terus kepada rakyat di luar sana selain menangkis penularan berita-berita palsu,” katanya. – MalaysiaGazette
















