BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM115,000 bagi menjalani pembedahan implan koklea untuk mengatasi masalah pendengaran.
Bapa kepada Nur Aisya Khadeeja, Muhamad Razmein Abdullah, 30, berkata, anak tunggalnya itu dikesan dengan masalah tersebut semasa berusia dua tahun apabila tidak mampu bercakap dan tidak memberi respon terhadap bunyi.
Katanya, hasil ujian lanjut mendapati saraf pendengaran di kedua-dua belah telinga Nur Aisya Khadeeja adalah sempit sehingga menjejaskan keupayaan pendengarannya.
“Walaupun telah memakai alat bantuan pendengaran selama lapan bulan, keadaannya tidak menunjukkan banyak perubahan.

“Doktor telah mencadangkan dia menjalani pembedahan implan koklea buatan, namun kos pembedahan yang tinggi tidak mampu kami tanggung sendiri,” katanya yang menetap di Selama, Perak.
Muhamad Razmein yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, dana RM115,000 diperlukan agar pembedahan implan koklea tersebut dapat direalisasikan.
“Doktor menjadualkan pembedahan untuk dibuat pada 17 Julai depan.
“Pembedahan itu penting demi masa depan anak kami ini agar dia dapat membesar seperti kanak-kanak lain dan pergi ke sekolah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga itu memaklumkan mereka hanya mampu mengeluarkan RM5,000 bagi perbelanjaan prosedur berkenaan.
“Selain bapa, ibunya, Haslinda Mohd Zamidi, 35, bekerja sebagai pegawai pentadbiran.
“Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3193433435) atau melalui laman web onehopecharity.org,” katanya.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette
















