Tiga gabungan anak muda iaitu Kolektif Jalan Terus, Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Anak Muda Permatang Pauh membuat laporan polis terhadap Zaharuddin di IPD Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang malam tadi.

BUKIT MERTAJAM – Tiga gabungan anak muda iaitu Kolektif Jalan Terus, Majlis Belia Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Anak Muda Permatang Pauh menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap Zaharuddin Muhammad susulan hantarannya di media sosial yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum.

Wakil kumpulan, Penyelaras Kolektif Jalan Terus merangkap Ketua Penerangan Majlis Belia Daerah SPT, Mohd Nazirullah Nordin berkata, hantaran tersebut telah menyentuh sensitiviti kaum dan memberi kesan buruk terhadap imej institusi keselamatan negara.

Jelasnya, tindakan Zaharuddin berbentuk provokasi berselindung di sebalik satira politik, yang cuba mencetuskan ketegangan kaum secara licik dan tidak bertanggungjawab.

“Dalam hantaran tersebut, Zaharuddin mencipta naratif kononnya pada tahun 2058, Perdana Menteri Malaysia ke-50 berasal daripada bangsa Cina, hasil pasangan warga asing melalui skim Malaysia My Second Home (MM2H).

“Walaupun Zaharuddin menyebut ia sebagai gambar hiasan namun secara sinis dia meletakkan gambar Leftenan Jeneral berbangsa Cina yang baru dilantik, memberi bayangan bahawa kemajuan bukan Melayu dalam struktur ketenteraan adalah sesuatu yang patut dicurigai.

“Justeru kita gesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tiga kumpulan anak tersebut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini.

Turut hadir wakil Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia cawangan SPT, sebagai simbol solidariti antara generasi muda dan bekas pejuang tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN

Kenyataan Zaharuddin isu lantikan Johny berbaur perkauman – Steven

Mengulas lanjut, Mohd Nazirullah turut memetik kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, yang menegaskan bahawa “di perbatasan, peluru tidak mengenal bangsa”, sebagai peringatan bahawa semangat patriotisme dan kesetiaan kepada negara tidak boleh dinilai berdasarkan latar belakang kaum.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan alat retorik politik mana-mana pihak. Mereka adalah benteng akhir negara yang mesti dihormati dan dibela, bukan dijadikan bahan sindiran atau simbol ketakutan palsu,” katanya.

“Tindakan laporan polis ini dilihat sebagai mesej tegas daripada masyarakat, khususnya generasi muda dalam menolak sebarang bentuk politik perkauman yang boleh menggugat perpaduan dan keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast