Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersorak bersama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Perhimpunan Agung Khas PPBM di Selayang, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 02 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya wujud sentimen penolakan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya khabar angin atau desas-desus yang tidak berasas.

Malah, menurut bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Penerangan Bersatu Pusat, Daud Ibrahim, gerakan itu sekali pun wujud, tidak akan berjaya kerana ahli Bersatu bukanlah umpama ‘anai-anai’ yang mampu meruntuhkan sebuah bangunan.

Tambah Daud yang juga Ketua Cawangan Bersatu Bahagian Selayang, naratif kononnya gerakan itu menular dengan motif untuk mengangkat Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengetuai parti juga langsung tidak munasabah.

Daud Ibrahim.

Ini kerana, jelas beliau, tanpa gerakan itu sekali pun, Muhyiddin sendiri sudah ‘mengangkat’ Hamzah ke satu kedudukan yang selangkah sahaja lagi untuk menjadi Presiden.

“Hamzah mendapat kedudukan kedua tertinggi tanpa sebarang gerakan dari ‘tentera anai-anai’, sebaliknya usaha Muhyiddin sendiri.

“(Maka) individu yang dikatakan cuba meniup pengaruh untuk ‘membenci Muhyiddin dalam kalangan akar umbi dengan harapan supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu meletakan jawatan, adalah perbuatan sia-sia,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Daud merujuk kepada beberapa komentar yang dibuat menerusi media arus perdana dan di laman sosial kononnya Bersatu kini digoncang dengan khabar angin wujud gerakan dari dalam parti itu yang menolak kepimpinan Muhyiddin.

Komentar itu menjadikan beberapa insiden perbezaan pendapat dan perkembangan melibatkan beberapa pemimpin Bersatu yang dilihat tidak sehaluan.

Antaranya kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebelum ini yang mempersoalkan program jelajah Bersatu ke negeri-negeri yang tidak menjemput Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden parti itu.

Malah, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang turut mendakwa MPT juga tidak dimaklumkan mengenai program tersebut.

Sementara itu, Daud berkata, perbezaan pandangan melibatkan Wan Ahmad Fayhsal tersebut terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan pergeseran yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika pemilihan parti berkenaan baru-baru ini.

Menjelaskan isu dibangkitkan, beliau berkata, sepatutnya semua ahli Bersatu melihat misi jelajah itu adalah ‘arahan Presiden’ kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu, ujarnya, memadailah Mohamed Azmin sahaja yang menentukan siapa yang perlu dibawa bersama untuk ‘bercakap’ soal persiapan menghadapi pilihan raya, tanpa perlu mengajak semua pemimpin utama bersama-sama.

Begitu juga, katanya, ketika Hamzah ke Singapura memenuhi undangan S Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University pada 21 Mei, yang mana beliau membawa beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), yang bukan semuanya pemimpin utama.

“Mustahil semua program yang mereka sertai mesti dihadiri semua pemimpin utama serentak kerana masing-masing memainkan peranan, bersesuaian dengan kedudukan mereka.

“Mohamed Azmin ‘mengemudikan’ jentera untuk PRN negeri-negeri manakala Hamzah membina hubungan antara negara.

“Perlu dijelaskan bahawa semua dalam BERSATU berada dalam satu kem, bukan beberapa kem. Mereka bernaung di bawah Kem Muhyiddin,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast