Pasukan operasi BKSA mengambil sampel bangkai ikan bagi tujuan analisa makmal untuk menyiasat menyiasat punca kematian ribuan atau lebih dua tan ikan air tawar spesies tilapia di Sungai Melaka berhampiran Taman Rumpun Bahagia, Bachang, Melaka, sejak, Khamis lalu.

MELAKA – Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka sedang menyiasat punca kematian ribuan atau lebih dua tan ikan air tawar spesies tilapia di Sungai Melaka berhampiran Taman Rumpun Bahagia, Bachang, di sini sejak, Khamis lalu.

Agensi itu menerusi satu kenyataan berkata, ia termasuklah dakwaan yang mengaitkan kejadian itu dengan kesan tumpahan minyak atau bau bahan kimia selepas menerima aduan pada malam 26 Jun lalu.

Menurutnya, satu operasi kecemasan telah digerakkan bagi menyiasat punca kejadian dan membersihkan sungai berkenaan bersama Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM).

Petugas PPSPM mengutip ribuan atau lebih dua tan bangkai ikan air tawar spesies tilapia yang terapung di Sungai Melaka berhampiran Taman Rumpun Bahagia, Bachang, Melaka, sejak, Khamis lalu.

“Pasukan operasi telah mengambil sampel bangkai ikan bagi tujuan analisa makmal namun pemerhatian awal mendapati terdapat kesan air berminyak di permukaan sungai yang mencetuskan kebimbangan berlakunya pencemaran.

“Operasi mengesan punca pencemaran sedang giat dijalankan bermula dari kawasan Batu Hampar sehingga ke kawasan perindustrian berhampiran sehingga ke bahagian hulu Sungai Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, BKSA memandang serius insiden ini dan menyeru orang ramai yang melihat sebarang aktiviti pelepasan bahan tercemar oleh individu atau syarikat supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Pasukan operasi BKSA mengambil sampel bangkai ikan bagi tujuan analisa makmal untuk menyiasat menyiasat punca kematian ribuan atau lebih dua tan ikan air tawar spesies tilapia di Sungai Melaka berhampiran Taman Rumpun Bahagia, Bachang, Melaka, sejak, Khamis lalu.

“Sekiranya kami berjaya mengenal pasti kesalahan, tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Sumber Air Negeri Melaka,” tegasnya lagi.

Sementara itu PPSPM dalam kenyataannya berkata, seramai 30 kakitangannya dikerahkan ke lokasi awal pagi semalam bagi melakukan operasi bagi kerja-kerja pembersihan bangkai ikan air tawar itu.

“Setakat tengah semalam, dianggarkan dua tan (2,000 kilogram) bangkai ikan telah dikutip dan kerja-kerja pembersihan masih diteruskan apatah lagi Sungai Melaka terkenal dengan perkhidmatan bot pelancongan, Melaka River Cruise (MRC),” katanya.

Ribuan atau lebih dua tan bangkai ikan air tawar spesies tilapia yang terapung di Sungai Melaka berhampiran Taman Rumpun Bahagia, Bachang, Melaka, sejak, Khamis lalu.

Untuk rekod, kejadian ini bukanlah insiden baru di Melaka malah sudah beberapa kali berulang sejak 10 tahun lalu yang dikaitkan dengan fenomena alam dan tiada kaitan dengan pencemaran.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka juga pernah memaklumkan telah menjalankan kajian berhubung masalah kematian mengejut beribu-ribu ikan sejak kali pertama pada 2005 namun tidak mengesan sebarang unsur pembuangan sisa industri di Sungai Melaka.

Malah, agensi itu tidak menolak pertembungan air masin dan air tawar di pintu air menjadi punca kepada kejadian dan ini disokong Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka yang turut mengesahkan ia berpunca daripada kekurangan oksigen dalam air.

Kejadian berlaku akibat air sungai kekurangan oksigen yang berkemungkinan berlaku pencemaran organik tinggi menyebabkan oksigen terlarut kurang.

Faktor kemungkinan lain pula adalah disebabkan air sungai yang tidak bergerak, sehingga kadar oksigen berkurangan menyebabkan ikan mati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast