SHAH ALAM – Sehingga kini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya melahirkan seramai lebih 25,000 orang graduan terlatih di bawah Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) sejak ditubuhkan pada tahun 1969.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian pada tahun lalu meningkat kepada 81.23, berbanding 78.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Jelasnya, perkembangan positif tersebut dilihat berpotensi meningkatkan daya saing industri agromakanan di pasaran global sekaligus menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.
“Bagaimanapun, ia masih berada di bawah purata nasional, namun kekal menunjukkan trend peningkatan sejak lima tahun kebelakangan ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival TVET Pertanian@KPKM di Dewan MBSA, Kemuning Utama, hari ini.
Tambah beliau, kebolehpasaran graduan yang tertinggi bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) adalah dalam bidang poultri iaitu sebanyak 100 peratus.
Manakala, bidang ruminan sebanyak 93.2 peratus dan bidang penyelenggaraan jentera kecil pertanian sebanyak 92.3 peratus.
“Terdapat dua bidang yang mempunyai kadar kebolehpasaran yang sama, pada kadar 91.7 peratus iaitu bidang perikanan tangkapan dan pengeluaran padi,” ujarnya.
Justeru, Mohamad berharap supaya TVET menjadi nadi kepada pertanian moden yang mana berpotensi menggabungkan ilmu teknikal, teknologi tinggi dan nilai kemanusiaan.
“Besar harapan saya agar TVET pertanian jadi pilihan utama kepada belia di luar sana, dan bukan pilihan kedua. Kita nak lahirkan generasi pelajar yang memilih TVET dengan bangga, kerana mereka tahu mereka sedang mempersiapkan diri untuk jadi pemimpin lapangan, bukan sekadar pekerja lapangan.
“Kepada institusi dan industri, teruslah bekerjasama dengan kerajaan untuk bersama-sama membangunkan ekosistem pertanian masa depan,” tambah beliau.
Untuk info, Karnival TVET Pertanian@KPKM yang diadakan hari ini adalah julung kali dianjurkan oleh kementerian tersebut.
Sebanyak 13 gerai diusahakan oleh pelajar TVET pertanian sendiri selain 45 inovasi teknologi mereka.-MalaysiaGazette
















