KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut dipercayai diserang sakit jantung sebelum kereta dipandu merempuh dua kenderaan di Jalan Teratai, Felda Bukit Aping Barat, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, maklumat mengenai kemalangan tersebut diterima daripada orang awam pukul 10.25 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan dan melanggar dua kenderaan yang parkir di depan rumah iaitu sebuah Proton Wira dan sebuah van Toyota Hiace yang diparkir di jalan.

“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Proton Saga Sazali Mohd Razak berusia 46 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan lebih berwaspada ketika memandu bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan.- MalaysiaGazette

 

Caption gambar: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terlibat kemalangan di Jalan Teratai, Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi di sini malam tadi.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast