Annuar dan pimpinan Pas Johor selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pulai, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI –  Pas menafikan kenyataan pihak tertentu yang mendakwa  hubungan dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) retak.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, hubungan parti komponen PN  sama ada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masih harmoni.

Jelasnya, parti komponen tersebut terus menjadi tunjang PN dan perpaduan tersebut turut merangkumi parti lain di luar gabungan.

“Secara jujurnya kita mempunyai satu bentuk hubungan yang jauh lebih harmoni dengan semua parti komponen lain.

“Meskipun terdapat pelbagai tafsiran dibuat oleh pihak luar berhubung kenyataan memperkukuh struktur PN baru-baru ini, ia sebenarnya adalah langkah untuk memantapkan lagi kerjasama antara parti.

“Ini digunakan pihak tertentu untuk membuat tafsiran kononnya berlaku perselisihan. Hakikatnya ia tidak berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pulai di sini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.

Sebelum ini, media melaporkan PN akan melaksanakan rombakan menyeluruh struktur organisasi gabungan itu termasuk menubuhkan Majlis Presiden dan meminda perlembagaan bagi memperkukuh tadbir urus serta kerjasama antara parti komponen.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penambahbaikan struktur organisasi itu dijangka dilaksanakan selepas jawatankuasa khas PN selesai membuat penilaian menyeluruh.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya Pas berkata, cadangan untuk memperkasakan PN sudah dibentangkan kepada pimpinan PN.

Hasil daripada itu ujarnya, telah diputuskan untuk membentuk satu jawatankuasa yang diwakili oleh lima orang daripada setiap parti.

“Jawatankuasa ini akan memperincikan cadangan memperkasakan PN. Pada saya, itu   satu perkembangan yang sihat dalam kita berhadapan perubahan  politik yang pragmatik,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya akan diperkemaskan dengan memberi penekanan khas kepada Johor dan Melaka yang dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal.

Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan kepada semua Ketua Penerangan negeri untuk meningkatkan kesiapsiagaan termasuk dengan pelbagai program latihan di semua peringkat.

“Secara umumnya, semua Ketua Penerangan Pas kawasan sudah diberi arahan spesifik serta modul-modul persiapan yang perlu mereka laksanakan.

“Di Johor, Pas hanya satu kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani. Oleh itu, kita mahu mempertahankan kerusi dimenangi serta melihat potensi menambah lagi kerusi di kawasan lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast