GEORGE TOWN – Seorang bekas pengurus program sebuah syarikat penerbangan kerugian sebanyak RM436,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan melalui aplikasi WhatsApp.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa yang merupakan seorang pesara menyertai skim pelaburan saham IPO dengan janji pulangan tinggi melalui satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai Enspire Capital.

“Mangsa turut diminta memuat turun aplikasi dikenali sebagai Freeman Plus yang didakwa sebagai platform pelaburan dan telah membuat 56 transaksi pemindahan wang ke empat akaun syarikat berbeza antara 12 Mei hingga 2 Jun lalu.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan mula curiga apabila suspek terus meminta wang tambahan.

“Nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM436,000 dan ia merupakan wang simpanan peribadi dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Tambah beliau, wanita itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut setelah menyedari dirinya ditipu.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast