Mohamad melancarkan buku UMNO Ledang Menelusuri Perjuangan selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Ledang, hari ini.

TANGKAK – Kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan hanya untuk menguruskan negara.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, kerjasama tersebut bukan bermakna UMNO atau BN bergabung dengan parti komponen PH.

Beliau menjelaskan, UMNO tidak memerlukan gabungan mana-mana parti dalam PH kerana mereka sudah ada rakan seperti MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

“Jadi, kita jangan terlalu mudah terperangkap dengan individu yang bercakap mengenai UMDAP (istilah yang merupakan satu simbol sindiran terhadap kerjasama politik UMNO dan DAP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

Katanya, kerjasama UMNO dan BN itu dilakukan kerana mahu menyelamatkan ekonomi negara memandangkan tiada satu gabungan politik yang mendapat majoriti membentuk kerajaan.

Jelasanya, buat pertama kali dalam sejarah Malaysia moden selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiada mana-mana pihak boleh membentuk kerajaan.

Berikutan itu Mohamad yang juga Menteri Luar menafikan tohmahan mengatakan UMNO ‘bergabung’ dengan parti komponen lain termasuk DAP pada ketika ini.

“Pada PRU-15, PH dapat 82, PN (Perikatan Nasional) pula menang 73 kerusi, tapi masing-masing nak jadi Perdana Menteri. Dalam diam-diam mereka curi 10 orang (ahli Parlimen) kita.

“Ketika itu, kita berhadapan dengan keadaan tidak menentu, ringgit merudum manakalaa pelabur sudah lari. Apabila disaran membentu Kerajaan Perpaduan, kami bermesyuarat.

“Daripada 56 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, 54 setuju manakala dua lagi berkecuali. Selepas mesyuarat, kami menyatakan persetujuan membentuk kerajaan Perpaduan bersama-sama PH,” katanya.

Sementara itu, Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat mengingatkan pemimpin UMNO agar mengambil iktibar kekalahan sejak PRU-15 pada 2018.

Kekalahan itu katanya, menyebabkan UMNO hilang beberapa kerusi dan tidak lagi menjadi  kerajaan sebagai parti yang kukuh seperti mana direkodkan pada PRU sebelum itu.

“Kejayaan UMNO/BN di PRN Johor amat membanggakan tapi malangnya, pada PRU lalu (peringkat Parlimen) kita kecewa. Menang lebih dua pertiga di Johor dan Melaka tapi bila PRU, kita tidak seperti dijangkakan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast