MELAKA – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengumumkan kenaikan RM50 bagi kadar baharu skim Bantuan Makanan Bulanan (BMB) kepada asnaf miskin dan mualaf di negeri ini menjadikannya RM300 berbanding RM250 sebelum ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kadar itu akan bermula pada esok (1 Julai 2025) susulan krisis kenaikan harga barang mentah yang mempengaruhi nilai barangan kepada golongan itu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, ia juga selepas mengambil kira skim-skim bantuan itu yang melibatkan 7,698 asnaf miskin tidak dinaikkan sejak beberapa tahun lepas.
“Selain BMB, MAIM turut menaikkan kadar beberapa skim bantuan lain, antaranya Bantuan Yuran Persekolahan Sekolah Rendah (one-off) bagi anak-anak miskin iaitu RM100 berbanding RM70 tahun lalu.
“Selain itu, bantuan tunai mualaf turut dinaikkan dari RM200 kepada RM300 dan bantuan tunai mualaf baharu (automatik) juga pada kadar yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Rahmad berkata, kadar bantuan bulanan bagi asnaf fakir adalah kekal sama seperti sebelum ini iaitu RM400.
Tambahnya, berdasarkan data setakat 24 Jun lalu, penerima BMB MAIM (bantuan daruriyah) adalah seramai 7,810 orang iaitu asnaf fakir seramai 112 orang dan asnaf miskin seramai 7,698 penerima. – MalaysiaGazette
















