GEORGE TOWN – Bau busuk dari sebuah unit di tingkat sembilan sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir di sini, hari ini membawa kepada penemuan tragis mayat seorang wanita tempatan dan anak perempuannya.
Difahamkan pihak polis terima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang sebelum meminta bantuan pasukan bomba untuk membuka pintu kediaman terbabit susulan berkunci dari dalam.
Susulan itu, pihak polis menemui mayat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di dalam bilik utama unit berkenaan.
MalaysiaGazette difahamkan, pemeriksaan awal oleh pakar forensik Hospital Pulau Pinang yang hadir ke lokasi mendapati kedua-dua mayat dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu lalu.

Selain itu, pihak polis turut menemui beberapa jenis ubat yang dipercayai digunakan untuk merawat individu mengalami tekanan perasaan di dalam rumah berkenaan.
Difahamkan, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat yang dijadualkan berlangsung di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang esok.
Sementara itu, adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Noor berkata, kali terakhir beliau bertemu kakaknya adalah pada Mei lalu.
“Kakak saya sudah bercerai dan tinggal bersama anaknya di sini. Kami difahamkan dia tidak bekerja. Kali terakhir saya jumpa pun sebab pihak polis minta saya datang ke Balai Polis Seberang Jaya untuk membawanya pulang,” katanya.
Menurut seorang jiran yang tinggal di tingkat sembilan, kali terakhir mereka melihat wanita itu bersama anaknya pada penghujung Mei lalu.

“Kami pun tak pasti siapa sebenarnya tinggal di rumah tu sebab penyewa sering bertukar, kadang-kadang pelajar USM adakalanya orang tempatan dewasa.
“Kami tak dengar sebarang bunyi atau bau dari rumah dia sebelum ini, jadi kami sangka dia dah pindah. Sebelum ni pun dia ada maklumkan nak pindah, selain memang nampak dia bawa barang seolah-olah mahu pindah.
“Bila saya tanya, baru dia mengaku rumah itu bakal dilelong dan dia nak pindah ke Seberang. Tapi selepas itu kami tak nampak dia lagi,” katanya yang enggan dikenali. – MalaysiaGazette
















