KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM1 juta terhadap seorang bekas pegawai bank pelaburan kerana kesalahan penipuan sekuriti melibatkan jumlah RM201,000.
Ruwan Amaresh Shaun Ponniah, bekas Pengarah Bersekutu di Bahagian Pasaran Modal Hutang (Debt Capital Markets) CIMB Investment Bank, dijatuhkan hukuman oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Norma Ismail selepas beliau mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataannya berkata, mahkamah turut mengambil kira sembilan lagi pertuduhan serupa di bawah seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Ruwan telah melakukan penipuan akan melaburkan wang tujuh pelabur dalam saham tersenarai di Bursa Malaysia dan pasaran saham asing.
Bagaimanapun wang tersebut telah digunakan untuk tujuan lain tanpa pengetahuan para pelabur.
Ruwan turut mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah seksyen 58(1) CMSA kerana menyamar seolah-olah menjalankan perniagaan pengurusan dana tanpa lesen atau pendaftaran yang sah untuk pengurusan dana.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan tersebut dan memerintahkan hukuman berjalan serentak dengan hukuman penjara bagi kesalahan pertama.
Aktiviti pengurusan dana adalah satu aktiviti yang dikawal selia di bawah Jadual 2 CMSA.
Kesalahan-kesalahan ini berlaku antara Oktober 2018 hingga Jun 2020.
Pengakuan bersalah Ruwan dibuat sebagai sebahagian daripada permohonannya untuk rundingan pengakuan di bawah seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.
Ruwan telah ditangkap dan didakwa buat kali pertama oleh SC pada 18 September 2024.
Beliau pada mulanya mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM210,000 dengan seorang penjamin.
Pada 5 Februari 2025, setelah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk pengurangan jumlah jaminan, jumlah tersebut dikurangkan kepada RM105,000.
Namun, Ruwan gagal membayar jaminan dan telah direman di Penjara Sungai Buloh sehingga kini.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjaranya berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya.
SC mengingatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada dan memastikan kesahihan sebarang tawaran pelaburan dengan menggunakan “Investment Checker” – www.sc.com.my/investment-checker – yang tersedia di laman web rasmi SC.
















