Dr Mohd Aleef Yusof

MELAKA – Wakil rakyat pembangkang mempersoalkan bagaimana bumbung Jejantas Tun Teja di Peringgit yang menelan kos RM8 juta dan baru berusia lima bulan boleh bocor sehingga ia tular sekali gus menjejaskan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, kejadian itu yang tular menerusi video berdurasi 18 saat sejak Sabtu lalu amat memalukan dan tidak boleh diterima sama sekali untuk sebuah projek mega.

“Bagaimana sebuah projek sebesar ini yang menelan belanja hampir RM8 juta boleh bocor sedangkan ia baru sahaja dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Februari lalu.

“Saya marah dan kecewa bukan kerana berada di blok pembangkang, tapi saya membawa suara rakyat yang mahukan penjelasan bagaimana keadaan ini boleh berlaku apatah lagi sebahagian besar kos RM8 juta adalah melibatkan struktur bumbung,” katanya.

Dr Mohd Aleef (kanan) menunjukkan kesan karat dan bocor pada bumbung Jejantas Tun Teja di Peringgit, Melaka yang menelan kos RM8 juta dan baru berusia lima bulan lalu.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan beberapa kesan kebocoran dan karat pada bumbung jejantas berkenaan di sini hari ini.

“Apa yang lebih mengecewakan sepanjang hampir sejam berada di jejantas ini, hanya ada dua pekerja asing warga Bangladesh menggunakannya, itu pun sekadar untuk melintas dan bukannya teruja melihat keindahan jejantas ini.

“Usahkan pelancong luar negara, kelibat pelancong tempatan pun saya tidak nampak menunjukkan projek ini jelas satu pembaziran sedangkan banyak lagi keperluan lain yang harus diutamakan kepada rakyat.

“Malah, sebuah kafe menjual kopi di atas jejantas ini juga tidak beroperasi menunjukkan ia gagal mendapat sambutan ramai,” tegasnya lagi.


Dr Mohd Aleef menunjukkan keadaan sebuah kafe menjual kopi di atas jejantas yang tidak beroperasi menunjukkan ianya gagal mendapat sambutan ramai.

 

Menerusi video yang tular sejak dua hari lalu menunjukkan bumbung jejantas berkenaan bocor menyebabkan air melimpah ke laluan pejalan kaki.

Malah, tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, terdapat hampir 10 kesan karat diikuti rekahan dan lubang dipercayai akibat reput. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast