PERMATANG PAUH – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan TikTok untuk tampil memberi penjelasan segera berhubung isu ‘PK Battle’ atau personal knockout battle yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan ibu bapa mengenai jumlah wang yang dibelanjakan oleh anak-anak bagi membeli gift semata-mata untuk tujuan pertandingan tersebut.
“Kami pandang serius perkara ini. Memandangkan TikTok telah diberi lesen untuk beroperasi di Malaysia, mereka perlu tampil memberikan penjelasan serta menyatakan langkah-langkah yang akan diambil untuk menangani masalah ini.
“Inilah sebab kenapa pihak kerajaan tak benarkan kanak-kanak bawah 13 tahun memiliki akaun TikTok, Instagram atau mana-mana media sosial kerana tidak mustahil mudah untuk mereka mengikuti dan lebih kurang mengikuti trend-trend seperti PK Battle tanpa mereka benar-benar memahami kesan kepada diri mereka,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Fahmi melakukan tinjauan pelaksanaan pengukuran kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS merangkumi laluan dari Pusat Konvensyen PICCA Butterworth ke NADI Kubang Semang, di sini.
Tambah Fahmi, sesi libat urus perbincangan antara MCMC dengan pihak TikTok akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Arahan (lakukan perbincangan) telah dikeluarkan pagi tadi dan saya jangka mungkin dalam minggu ini mereka (pihak TikTok) akan datang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
NGO buat laporan desak PDRM, MCMC sekat PK Battle di TikTok
Trend PK Battle bercanggah dengan ajaran Islam – Mufti P.Pinang
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 28 Mei lalu bagi menuntut penggunaan ciri PK Battle di aplikasi TikTok diharamkan dalam negara.
Mereka juga mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar segera mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti ‘PK Battle’ yang dilihat sebagai bom jangka sosial negara.
Pengerusinya, L. Francis mendakwa aktiviti tersebut bukan sahaja membuang masa, malah mendorong kepada perbuatan tidak bermoral seperti buli, peras ugut, eksploitasi seksual, serta pencabulan batas etika secara terbuka di media sosial. – MalaysiaGazette















