KUALA LUMPUR – Seorang bekas Pembantu Tadbir Felda mengaku bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang khairat kematian sebanyak RM41,652.42.
Tertuduh Nurul Syafiha Awang Za membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie, di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Syafiha didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu secara tidak jujur menggunakan wang berjumlah RM 41,652.42 bagi tujuan pembayaran khairat kematian kepada waris-waris peneroka FELDA Sungai Panching Timur yang telah meninggal dunia bagi kegunaan peribadi tertuduh.
Sehubungan itu, hakim Sazlina memerintah tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara enam bulan.
Tiada sebatan dikenakan kerana tertuduh adalah wanita.
Nurul Syafiha yang diwakili peguam bela Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar disabit kesalahan dan dihukum mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette















