RAMAI yang bising mengenai pengumumuman kerajaan mengenai peluasan versi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan mula dikuatkuasa 1 Julai ini.
Mereka bimbang ia memberi kesan terhadap pengguna dengan mengenakan peluasan cukai itu kelak terutama kepada peniaga makanan asas seperti buah-buahan.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse mahu peluasan SST dikaji semula kerana langkah itu perlu kerana pelaksanaan tersebut akan memberi kesan kenaikan harga dan gaya hidup golongan B40 dan M40.
“Rakyat Malaysia memahami keperluan kerajaan untuk memperbanyak dan mempelbagai hasil negara, namun dalam konteks makanan asas seperti buah-buahan, ia wajar dikaji semula atau sekurang-kurangnya ditangguhkan.
“Ini bertujuan agar tidak menimbulkan kesan kepada kos sara hidup dan tahap kesihatan awam,” katanya.
Pihak Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) pula bimbang akan berdepan dengan cabaran – lebih-lebih lagi sekiranya tarif Amerika Syarikat (AS) yang dihentikan sementara – dikuatkuasa kelak.
Seperti contoh, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, PMKS masih mengharungi persekitaran operasi yang mencabar termasuk kos input yang tinggi, perbelanjaan pengguna yang semakin merosot dan permintaan luar yang semakin lemah.
Menurutnya, dalam keadaan itu, peluasan SST tanpa pengecualian mencukupi atau peningkatan ambang kelayakan bagi PMKS akan memburukkan lagi beban kos ke atas perniagaan.
Dibawah senarai peluasan SST diumumkan itu, King crab, ikan salmon, ikan kod, cendawan truffle dan strawberi import adalah makanan yang akan dinaikkan kadar cukai jualan sebanyak lima peratus mulai 1 Julai ini.
Selain itu, barangan yang dikenakan cukai pada kadar tersebut adalah essential oil atau minyak pati, sutera dan jentera industri.
Kementerian Kewangan (MOF) turut menyenaraikan sisa skrap tungsten, basikal lumba dan lukisan tangan antik, yang akan dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus.
Jelas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, langkah semakan dan perluasan skop SST seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 tahun lalu, bertujuan menambah hasil dan meluaskan asas percukaian.
Namun sesiapa sahaja mendengar cukai sudah tentu tidak suka lebih-lebih lagi ia mudah membangkitkan kemarahan ramai.
Justeru naratif mengenainya perlu diubah terutama kepada rakyat di bawah yang sudah menderita dengan kenaikan kos barangan selama ini. Setuju, kebimbangan dalam kalangan masyarakat mesti diredakan.
Seiring dengan itu, kefahaman rakyat mengenai peluasan cukai ini juga wajar ditingkatkan, bagi membolehkan percukaian tidak hanya dilihat dari konotasi negatif semata-mata, sebaliknya turut memberi manfaat yang besar kepada mereka, khususnya golongan paling memerlukan.
Sebenarnya usaha kerajaan untuk memperluaskan asas cukai dengan memasukkan lebih banyak sektor ke dalam rejim SST selaras dengan trend global dan mencerminkan pendekatan pragmatik terhadap kemampanan fiskal.
Ia bukan cukai secara ‘selimut’ di mana semua pihak terlibat tetapi fokus dan bersasar.
Lagi pun ia masih tertakluk kepada perubahan terutama yang melibatkan cukai ke atas produk buah-buahan seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Malah, yang terbaru juga, kerajaan bersetuju untuk mengecualikan buah oren dan epal import dari senarai peluasan SST ini.
Keputusan ini menunjukkan kesediaan kerajaan untuk mendengar rintihan masyarakat, selain memastikan setiap dasar yang mahu dilaksana kelak, turut mengambil kira pandangan dan keperluan rakyat.
Namun, daripada satu sudut jangka panjang, sebenarnya peluasan cukai ke atas buah-buahan lain yang import itu akan menaikkan semula permintaan buah-buahan tempatan seperti nanas, tembikai dan sebagainya, yang ternyata memiliki khasiat lebih baik dari buah import.
Malah menurut Institut Cukai Bertauliah Malaysia (CTIM), rasional di sebalik semakan dan peluasan SST adalah untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara bagi menyokong kesejahteraan rakyat dengan lebih baik dan menjadikan SST satu bentuk cukai yang lebih progresif dan bersasar.
Langkah itu sebagai penggunaan cukai tidak langsung yang tepat pada masa dan strategik untuk meningkatkan hasil kerajaan tanpa perlu mengenakan cukai langsung tambahan atau memperkenalkan semula GST.
Hasil daripada perluasan skop SST itu akan membolehkan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam, selain peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat serta memperkukuh prasarana asas kepada rakyat serta penyampaian perkhidmatan awam.
Jadi sejak sekarang, kerajaan perlu tunjuk ke mana duit cukai yang diambil itu akan dibelanjakan supaya perspektif dan naratif yang selama ini negatif itu, dimurnikan serta dapat difahami dengan mudah.
Terangkan kepada umum semakan dan peluasan SST adalah untuk memastikan golongan yang mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi boleh benar-benar menyumbang bahagian yang lebih adil di samping melindungi sebahagian rakyat daripada tekanan kewangan yang tidak wajar.
Tunjukkan maksud belas ihsan akan nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan seperti termaktub dalam nilai MADANI.
Lagi pun peluasan SST tidak melibatkan barangan keperluan asas rakyat.
Peluasan SST juga dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap kadar inflasi memandangkan ia hanya melibatkan produk yang tidak menjadi pilihan utama pengguna.
Peluasan SST juga dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap kadar inflasi memandangkan ia hanya melibatkan produk yang tidak menjadi pilihan utama pengguna.
Langkah itu bersifat pragmatik memandangkan Malaysia berkedudukan baik untuk memanfaatkan kelebihan ekonominya di sebalik situasi kadar inflasi yang stabil 1.4 peratus pada April, pertumbuhan 4.4 peratus pada suku pertama dan kadar pengangguran yang berkurangan kepada 3.2 peratus.
Perlu terjemahkan peluasan SST akan memberi manfaat kepada 5.4 juta rakyat dan mereka perlu berterima kasih kepada kerajaan.
Matlamat peluasan SST akan membantu menambah hasil dan pendapatan kerajaan sekaligus ia boleh dipulangkan semula serta disalurkan dalam bentuk bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.
Justeru jika diperhalusi, perubahan itu dirangka untuk mencapai keseimbangan halus antara kesaksamaan, daya tahan ekonomi dan kestabilan kewangan jangka masa panjang yang mampan bagi negara. – MalaysiaGazette















