Dominic Lau

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan semakan dan pembentukan semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilaksanakan berteraskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

Menurut Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, kerajaan kali ini perlu melaksanakan dasar yang digubal tidak menyulitkan rakyat seperti yang didakwa berlaku sepanjang dua setengah tahun lalu.

“Langkah ini telah menimbulkan persoalan dan keraguan daripada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang baru sahaja meninggalkan Kabinet dan mungkin beliau menyedari sesuatu yang tidak kena.

“Saya ingin mengingatkan kerajaan bahawa kerajaan wujud demi memenuhi keperluan dan kepentingan masyarakat. Fungsi utamanya adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan orang awam serta memastikan penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Dominic, negara perlu mempunyai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kukuh serta rantaian bekalan yang sangat lengkap.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan sering mengabaikan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh PKS khususnya dalam penggubalan dasar.

Ujarnya, ia pada akhirnya menjejaskan keupayaan sektor-sektor di bawahnya untuk berkembang dan menjadi lebih berdaya saing.

“Mengambil contoh dua polisi baharu iaitu pelarasan tarif elektrik dan syarat mandatori bagi pekerja asing mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang secara langsung meningkatkan kos operasi syarikat.

“Walaupun mungkin tidak membawa ‘kesan maut’ kepada perkembangan PKS, dasar-dasar ini tetap cukup memberi kesan terhadap operasi harian mereka.

“Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan langkah-langkah yang memberikan status serta perlindungan kepada PKS pada masa akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, kerajaan harus membina satu ekosistem ekonomi yang baharu ekoran keadaan ekonomi global berada yang tidak menentu demi menyokong syarikat tempatan sekaligus menarik lebih banyak pelaburan.

“Selain meneruskan usaha menarik pelaburan asing, kerajaan juga harus membantu serta menyokong pembangunan syarikat tempatan.

‘Dalam usaha memperkukuh daya saing tempatan, kerajaan wajar memberi penekanan kepada sektor teknologi tinggi, dan bukan sekadar bergantung kepada industri berintensif buruh,” katanya.

Selain itu, Dominic menggesa kerajaan menumpukan kepada usaha pembinaan sistem bantuan sosial yang lebih bersasar dan berperingkat, serta memperkukuh bantuan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menjamin dan memperbaiki taraf hidup asas serta menyelesaikan masalah mendesak yang dihadapi oleh golongan yang memerlukan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast