KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan beroperasi semula esok bermula pukul 10 pagi.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini, Anthony Loke berkata, beliau turut menandatangani dokumen pengoperasian semula perkhidmatan terbabit hari ini.
“Tadi saya baru tandatangan dokumen — sah Aerotrain KLIA boleh mula perkhidmatannya semula esok jam 10 pagi!
“Aerotrain ni yang bawa penumpang ulang-alik antara Main Terminal dan Satelit Building supaya perjalanan lebih cepat dan selesa di KLIA Terminal 1.
“Terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus siang malam pastikan Aerotrain kembali beroperasi. Jumpa anda di Aerotrain!,” katanya.

Aerotrain di KLIA telah digantung operasinya sejak Mac 2023, selepas satu gangguan besar menyebabkan penumpang terpaksa berjalan di sepanjang landasan kereta api dalam hujan separuh perjalanan dari terminal lapangan terbang apabila ia mengalami kerosakan.
Pada Ogos 2023, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memutuskan untuk menamatkan kontrak dengan Pestech International Bhd bagi projek tersebut, dengan alasan prestasi tidak memuaskan, melanggar pencapaian projek yang penting, dan berisiko menyebabkan kelewatan dalam penyampaian projek mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Namun, pada Januari 2024, MAHB mencapai persetujuan dengan konsortium yang melibatkan anak syarikat Alstom, Pestech, dan IJM Corporation Bhd untuk menyambung semula projek tersebut, dengan sasaran siap pada 31 Mac 2025.
Bagaimanapun, projek bernilai RM456 juta itu telah menghadapi beberapa kelewatan, dengan tarikh sasaran operasi sebelumnya adalah pada 31 Januari lalu.
Difahamkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut membuat tinjauan dan melihat operasi perkhidmatan aerotrain itu tengah hari esok. – MalaysiaGazette
















