KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027 berkuat kuasa hari ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, Abdul Rashid, 61, yang memiliki pengalaman lebih 37 tahun dalam dunia sukan tanah air, akan mengetuai sekretariat bagi menyelaras semua aspek persiapan penganjuran temasya dwitahunan serantau itu.
“Sepanjang berkhidmat, beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam MSN sebelum bersara sebagai Ketua Pengarah pada awal April lalu.
“Abdul Rashid turut memainkan peranan penting dalam membantu MASOC pada edisi Sukan SEA 2017, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 pada 2027 dengan Sarawak, Pulau Pinang dan Johor bersetuju menjadi tuan rumah bersama bagi beberapa jenis sukan.
Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 telah ditubuhkan menerusi keputusan Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu sebagai langkah awal memulakan persiapan rapi menjelang temasya berkenaan.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2017 yang menyaksikan kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.
Dengan penganjuran edisi 2027, Malaysia akan menjadi tuan rumah temasya berprestij itu buat kali ketujuh selepas edisi 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017. – MalaysiaGazette
















