GEORGE TOWN – Seorang guru wanita mengalami kerugian berjumlah RM890,000 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket phone scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, laporan diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 30 Jun lalu selepas mangsa berusia 59 tahun itu menyedari dirinya telah diperdaya.
Hasil siasatan mendapati kejadian bermula pada 10 Mei lalu apabila mangsa, yang menetap di kawasan George Town itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil bank CIMB.
“Suspek mendakwa terdapat penyalahgunaan kad kredit atas nama mangsa namun mangsa menafikan memilikinya seperti yang dimaksudkan.
“Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Balai Polis Johor dan mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Pegawai palsu itu kemudian meminta mangsa menyerahkan semua wang miliknya bagi tujuan audit serta mendakwa wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Ali, mangsa turut diugut dengan waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya gagal berbuat demikian.
“Akibat bimbang akan ditahan, mangsa telah melakukan sebanyak 27 transaksi pemindahan wang secara atas talian ke 23 akaun bank berbeza antara 19 Mei hingga 5 Jun lalu melibatkan jumlah keseluruhan RM890,000.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan kejadian tersebut kepada rakannya yang kemudian memaklumkan ia adalah modus operandi sindiket penipuan.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette















